Pegawai SPRM ditahan salah guna kuasa, kini disiasat edar dadah

Pegawai SPRM ditahan salah guna kuasa, kini disiasat edar dadah

Pengarah JSJN Bukit Aman, Razarudin Husain berkata, suspek dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah sejak setahun lalu.

Polis berkata, suspek pada mulanya ditahan kerana memiliki dadah jenis Eramin 5 dan ujian air kencing juga didapati positif, susulan laporan SPRM.
PETALING JAYA:
Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sebelum ini ditahan kerana disyaki mencuri wang tunai RM25 juta, kini disiasat atas kesalahan membabitkan pengedaran dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Razarudin Husain berkata, suspek dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah sejak setahun lalu.

Katanya, suspek ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Suspek kini ditahan 60 hari untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan. Kami yakin tidak akan mengambil masa lama untuk melengkapkan siasatan.

“Selepas siasatan ini selesai, kami akan merujuk kertas siasatan kepada Bahagian Undang-undang Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan lanjut,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, suspek pada mulanya ditahan kerana memiliki dadah jenis Eramin 5 dan ujian air kencing didapati positif, susulan laporan SPRM.

Katanya, JSJN Bukit Aman turut menahan dua lelaki didapati positif dadah yang merupakan saksi dalam kes sama untuk melengkapkan siasatan.

Suspek yang bertugas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya itu ditahan memiliki dadah, senjata api dan peluru pada 21 Sept lalu. Dadah itu ditemui dalam pejabatnya.

Suspek terbabit adalah antara tiga pegawai SPRM yang ditahan susulan siasatan berhubung kehilangan barang kes membabitkan wang tunai ASD6 juta (RM25 juta).

Bulan lalu, SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa tiga pegawainya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.