Kerjasama dalam kerajaan, pilihan raya mana sama, Puad jawab Hamzah

Kerjasama dalam kerajaan, pilihan raya mana sama, Puad jawab Hamzah

Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi mendakwa parti itu disabotaj di PRN Sabah walau berada dalam kerajaan.

Kerjasama dengan PAS boleh dipertimbang kerana kombinasi Umno-PAS pada beberapa PRK membuahkan hasil yang baik, kata Puad Zarkashi.
PETALING JAYA:
Kerjasama mentadbir kerajaan bersama Umno lalu diterjemah dalam bentuk kerjasama semasa pilihan raya seperti dicadangkan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainudin, menjelang pilihan raya negeri (PRN) Melaka, disifatkan alasan lemah.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi, berkata senario bekerjasama dalam mentadbir kerajaan dengan kerjasama semasa pilihan raya adalah berbeza.

“Hamzah memberi alasan bahawa asas kerjasama dalam pentadbiran kerajaan pusat dan beberapa negeri lain yang berjalan baik adalah pendorong untuk wujudkan kerjasama di PRN Melaka.

“Alasan itu terlalu lemah. Tidak sama kerjasama dalam mentadbir kerajaan dengan kerjasama semasa pilihanraya,” katanya kepada FMT.

Sebagai contoh, Puad mendakwa PRN Sabah menjadi bukti paling jelas Umno disabotaj, walaupun parti berkenaan bersama kerajaan PN.

“…Semasa PRN Sabah, sabotaj tetap berlaku. Ada calon BEBAS yang ditaja termasuk tajaan dari segi kewangan,” katanya.

Beliau berkata, menolak bersama Bersatu bukan bermakna Umno berlagak sombong dan angkuh, namun parti itu tidak mahu ditikam dari belakang.

“Umno mahu rakan kongsi yang jujur. Elok Bersatu buktikan tanpa sokongan PH (Pakatan Harapan) apakah parti itu mampu mempertahankan dua kerusi yang dimenanginya dalam PRU14,” katanya.

Katanya, Umno masih boleh mempertimbangkan kerjasama dengan PAS pada PRN Melaka, selepas mengambil kira kombinasi Umno-PAS di beberapa PRK seperti Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai, membuahkan hasil yang baik.

Semalam, Hamzah berkata, kerjasama politik bersama Umno yang berlaku di peringkat pusat boleh dipraktikkan pada PRN Melaka.

“Jika di peringkat pusat kerjasama boleh dibentuk, ini bermakna di semua negeri juga ia boleh direalisasikan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.