
Ketua program dan projek Persekutuan Persatuan-persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) Mohd Fadzrel Abu Bakar mengingatkan agar kesimpulan pramatang tidak dibuat walaupun beliau mengakui “kaitan kuat” antara kadar kelahiran dengan faktor ekonomi seperti kenaikan kos sara hidup, nilai ringgit yang lemah dan kenaikan kadar inflasi.
Jabatan Statistik minggu lalu melaporkan data mengenai kelahiran dan kematian pada 2020 dan antara angka yang menonjol adalah kadar kesuburan keseluruhan negara turun kepada 1.7, iaitu nilai terendah dalam tempoh empat dekad.
Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, bagi mengekalkan populasi yang stabil, kadar kesuburan negara tidak boleh lebih rendah daripada “paras penggantian” 2.1 kelahiran per wanita.

Angka penting lain dalam laporan Jabatan Statistik itu adalah jumlah kelahiran hidup, iaitu 470,195 merupakan jumlah terendah dalam tempoh lebih sedekad.
“Kami tahu bahawa dari segi nilai ringgit yang lemah dan kos sara hidup yang semakin meningkat, maka mereka yang ingin memulakan keluarga harus berfikir dua kali,” kata Fadzrel.
“Ya, kos adalah antara faktor jika ingin lihat kenapa kadar kesuburan menurun. Tetapi adakah ia faktor utama? Itu adalah persoalan yang perlu diterokai lebih jauh.”
Menurut Fadzrel, kadar kesuburan negara sudah menurun hatta sebelum program perancang keluarga kebangsaan dilancarkan pada 1966.
Katanya, antara faktor yang mengakibatkan penurunan adalah pertumbuhan ekonomi negara yang pesat, urbanisasi dan peningkatan tahap pendidikan.
Faktor-faktor lain tambahnya, adalah peningkatan kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja, penangguhan perkahwinan dan kelahiran anak, peningkatan penggunaan perancang keluarga dan kesukaran untuk hamil.
“Mungkin bukan sentiasa faktor kos,” katanya.
“Usia wanita ketika berkahwin semakin meningkat. Ini juga menyingkatkan ‘tingkap kesuburan’ mereka untuk melahirkan lebih ramai anak, selain merendahkan kesuburan.”
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito berkata, Malaysia nampaknya seperti mengikut trend negara maju, dengan rakyatnya mempunyai kurang anak seiring dengan pertumbuhan ekonomi.

Tambahnya, mungkin juga terdapat anjakan dalam nilai bagi generasi muda yang lebih memilih kerjaya, kestabilan kewangan, masa lapang dan kebebasan untuk mengembara berbanding “nilai tradisional” seperti berkeluarga.
“Ini berlaku sebagai sebahagian daripada proses modernisasi,” katanya.
“Saya menganggap kos sara hidup sebagai faktor sementara, bukan sebagai dasar bagi fenomena ini.
“Kita mungkin perlu lihat data, tetapi saya cukup yakin jika graf kenaikan relatif pendapatan diplot terhadap kadar kesuburan, kita akan dapati bahawa semakin meningkat pendapatan relatif, semakin rendah kadar kesuburan. ”

Perunding pakar sakit puan Dr John Teo berkata, keluarga yang berada di hujung lebih rendah dalam skala ekonomi cenderung mempunyai lebih ramai anak kerana mereka kurang mendapat akses dan kesedaran mengenai kaedah perancangan keluarga.
Katanya, kadar kesuburan global menurun secara berterusan selama beberapa dekad di negara-negara yang mengalami kemajuan ekonomi.
Beliau berkata, ciri-ciri umum negara maju, iaitu taraf dan kos sara hidup yang tinggi, tahap pendidikan tinggi, penangguhan kelahiran anak bagi memberi laluan kepada kerjaya, penggunaan ubat perancang keluarga dan peningkatan kos penjagaan anak – kesemuanya berinteraksi dalam mendorong penurunan kadar kesuburan secara berterusan.