Wisma Putra belum terima permintaan bawa pulang Sajat

Wisma Putra belum terima permintaan bawa pulang Sajat

Kementerian Luar Negeri bersedia memberikan bantuan sebaik mungkin untuk membawa pulang Sajat.

Usahawan kosmetik dalam buruan Nur Sajat didakwa sudah berada di Australia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Wisma Putra belum menerima sebarang permintaan untuk membawa pulang usahawan kosmetik dalam buruan Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat yang kini didakwa berada di Australia.

Nur Sajat memaklumkan dia sedang menjalani kuarantin di Canterbury, Australia.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Kamarudin Jaffar berkata, pihaknya bersedia memberikan bantuan sebaik mungkin untuk membawa pulang Sajat.

Katanya, Konsulat Jeneral Malaysia di Melbourne akan memberikan bantuan kepada agensi berkaitan untuk mengekstradisi Sajat.

“Urusan bawa pulang ini akan dibuat agensi berkaitan dan apabila Wisma Putra diperlukan kita akan dihubungi.

“Setakat ini kami tidak terima apa-apa permintaan untuk membawa pulang (Sajat) daripada agensi berkaitan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Terdahulu menerusi media sosialnya, Sajat mendakwa sudah berada di Australia.

Usahawan itu memaklumkan dia sedang menjalani kuarantin di Canterbury dan secara rasmi berhijrah ke negara itu dengan bantuan kerajaan Australia, dalam sesi siaran langsung menerusi laman sosialnya.

Sajat dalam perkongsian bersama pengikutnya menegaskan tidak melarikan diri sebaliknya hanya berhijrah.

Sebelum ini, Sajat ditahan oleh imigresen Thailand pada 8 September lalu kerana memiliki pasport tidak sah. Usahawan itu kemudian ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara itu.

Sajat didakwa di mahkamah Thailand pada 9 September bagaimanapun dibebaskan pada keesokannya dengan jaminan USD2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.