
Peguam Yasmeen Soh Sha-Nisse yang menganggotai pasukan peguam Wan Ramli Wan Seman berkata, permohonan itu akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Kamal Md Shahid.
Soh bagaimanapun berkata, buat masa ini tidak jelas jika Peguam Negara akan membantah permohonan kebenaran Wan Ramli itu.
“Wakil Peguam Negara boleh menolak atau menyokong permohonan kebenaran untuk merit kes itu didengar.”
Wan Ramli, yang memfailkan permohonan itu bulan lalu, mahu deklarasi mahkamah bahawa pemecatannya pada 4 Ogos tidak sah, terbatal dan tiada kesan.
Pemohon itu yang bertugas di Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja berpangkalan di Kem Rasah, Negeri Sembilan, sepatutnya bersara pada 20 Jan 2023.
Bagaimanapun perkhidmatannya selama 19 tahun ditamatkan Ogos lalu atas dakwaan empat kesalahan di bawah Akta Angkatan Tentera 1972.
Beliau turut hilang pencen yang sepatutnya diterima dalam tempoh 16 bulan lagi.
Sebagai warganegara dan anggota Angkatan Tentera Malaysia, Wan Ramli berkata, haknya mengikut Perkara 5(1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan telah dicabul.
Disebabkan pemecatannya beliau hilang hak untuk mendapat pencen di bawah Perkara 147 Perlembagaan, iaitu hak yang dilindungi Perkara 13(1).