Masyarakat Penan enggan divaksin, lari masuk hutan bila pasukan vaksinasi tiba

Masyarakat Penan enggan divaksin, lari masuk hutan bila pasukan vaksinasi tiba

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Douglas Uggah Embas, dimaklumkan Jabatan Kesihatan Miri sudah enam kali memujuk masyarakat Penan bersetuju divaksinasi namun belum berhasil.

Timbalan Ketua Menteri, Douglas Uggah Embas, berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai kaedah bagi memastikan masyarakat Penan menerima suntikan vaksin Covid-19 termasuk menyediakan vaksin dos tunggal, CanSino.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sedang mencari pendekatan sesuai untuk memujuk masyarakat Penan di pedalaman Ulu Baram yang enggan menerima vaksin Covid-19, segera mendapatkannya.

Timbalan Ketua Menteri, Douglas Uggah Embas, berkata bagi memastikan kelancaran usaha itu, kerajaan akan terus meminta bantuan NGO dan wakil rakyat di kawasan terbabit untuk mencari jalan meyakinkan masyarakat minoriti itu terhadap program imunisasi.

Beliau berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai kaedah bagi memastikan masyarakat Penan menerima suntikan vaksin Covid-19 termasuk menyediakan vaksin dos tunggal, CanSino bagi memudahkan mereka.

“Vaksin dos tunggal ini adalah pilihan yang terbaik untuk mereka yang tinggal jauh di pedalaman seperti masyarakat Penan. Malah penggunaan vaksin CanSino juga memudahkan kakitangan perubatan kerana tidak perlu datang dua kali ke kawasan penempatan mereka,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata demikian ketika menghadiri taklimat Jabatan Kesihatan mengenai program dos penggalak dan program vaksinasi remaja di kampus Universiti Curtain, Kuching.

Beliau sebelum itu dimaklumkan oleh Pegawai Kesihatan Bahagian Miri, Dr Raviwharmman mengenai masalah dihadapi dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam memberikan pelalian kepada masyarakat Penan.

“Dr Raviwharmman memberitahu saya Jabatan Kesihatan Miri sudah enam kali cuba untuk memujuk agar masyarakat Penan bersetuju divaksinasi. Usaha itu termasuk oleh pegawai kerajaan, wakil rakyat, pemimpin masyarakat berpengaruh, NGO dan pertubuhan agama, namun masih belum berhasil,” katanya.

Uggah berkata, walaupun tidak menghadapi masalah untuk menerima rawatan atau prosedur perubatan yang lain, masyarakat Penan enggan menerima suntikan berkenaan, malah akan lari ke dalam hutan apabila pasukan vaksinasi tiba, sekali gus menjadi cabaran besar untuk memastikan kelancaran PICK di negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.