Kerajaan digesa jelas pendirian berhubung kedudukan CEO Kumpulan MAHB

Kerajaan digesa jelas pendirian berhubung kedudukan CEO Kumpulan MAHB

Lebih banyak persoalan timbul sejak laporan mengenai rancangan untuk menggantikan CEO Kumpulan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Mohd Shukrie Mohd Salleh.

(Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa menjelaskan pendiriannya mengenai kedudukan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Mohd Shukrie Mohd Salleh, susulan laporan berhubung rancangan untuk menggantikannya.

Pemegang taruh utama syarikat yang juga pengendali lapangan terbang utama di Malaysia itu dilaporkan meminta supaya Mohd Shukrie digantikan biarpun lembaga pengarah MAHB mengakui beliau menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang 20 bulan berkhidmat.

Laporan mengenai kemungkinan beliau diganti sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap pengambilalihan Lapangan Terbang Subang oleh sebuah syarikat swasta.

Dua ahli politik, Zaidel Baharuddin daripada MUDA dan Wan Agyl Wan Hassan daripada Pemuda Umno berkata, kerajaan perlu menunjukkan sikap telus berhubung perkara itu.

“Apa alasan yang sah untuk menggantikannya dan adakah ini suatu bentuk pembalasan selepas beliau membantah pengambilalihan Lapangan Terbang Subang?” kata Zaidel yang juga Ketua Penerangan parti itu.

“Sekiranya ini bukan keputusan lembaga pengarah, jadi siapa yang membuat keputusan untuk menggantikannya? Kenapa tiba-tiba ada rombakan? Adakah keputusan ini dibuat berdasarkan merit atau untuk menunjuk kuasa? Adakah ini berkaitan isu yang menyelubungi Lapangan Terbang Subang?”

Katanya, biarpun kerajaan mempunyai suara dalam syarikat miliknya namun ia perlu menunjukkan ketelusan terhadap perubahan besar yang berlaku dalam MAHB memandangkan ia adalah syarikat tersenarai awam yang mengurus prasarana utama.

“Ia bukan tindakan jahat hanya untuk meminta mereka supaya bersikap telus terutama apabila membabitkan wang rakyat dan prasarana utama. Dalam hal ini, keputusan yang dibuat akan menjejaskan harga saham. MAHB atau syarikat induknya sepatutnya lebih jelas dan menangani laporan ini dengan lebih cepat,” katanya.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Wan Agyl berkata, sayap itu membantah keras terhadap ura-ura pengambilalihan Lapangan Terbang Subang kerana menganggap ia tindakan yang tidak masuk akal.

WCT Holdings Bhd, yang diberi konsesi untuk mengendalikan operasi di Lapangan Terbang Subang menerusi anak syarikatnya Subang SkyPark, dilaporkan mahu membeli dan mengoperasikan lapangan terbang terbabit sehingga 2092.

Bagaimanapun WCT berkata, cadangan yang dihantar kepada kerajaan adalah untuk konsesi semula, bukan rancangan pengambilalihan lapangan terbang itu yang sebelum ini dikenali sebagai Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Pakar pengangkutan dan ahli politik juga tidak bersetuju dengan cadangan itu.

“Jadi ia amat penting untuk rakyat benar-benar memahami mengapa beliau perlu diganti,” kata Wan Agly selepas Mohd Shukrie dilaporkan begitu tegas mempertahankan Lapangan Terbang Subang.

“Pemegang taruh dan lembaga pengarah perlu menjelaskan spekulasi mengenai kedudukan Mohd Shukrie kerana ia menjadi kepentingan umum,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.