
Beliau juga bimbang tindakan Canberra itu mungkin mencetuskan persaingan kuasa di Asia Tenggara, khasnya dari segi persenjataan nuklear.
“Perkembangan ini tidak akan menguntungkan mana-mana pihak, kami (Indonesia dan Malaysia) bersetuju usaha untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan mesti diteruskan di rantau ini.
“Tidak perlu dinamik ketika ini untuk mencetuskan ketegangan dalam persaingan senjata dan juga rangka kuasa serantau,” katanya menurut laporan Berita Harian selepas menemui rakan sejawatan dari Malaysia, Saifuddin Abdullah di Jakarta.
Tindakan itu dibuat menerusi pakatan keselamatan strategik baharu antara Australia, United Kingdom dan AS yang dikenali sebagai AUKUS.
Bawah perjanjian itu, Australia akan membina sekurang-kurangnya lapan kapal selam berkuasa nuklear menggunakan pakar dari AS, sekali gus membatalkan kontrak kapal selam elektrik diesel dengan Perancis.
Menurut pakar, kapal selam nuklear itu akan membolehkan Australia melakukan rondaan lebih jauh dan memberikan sekutunya penguasaan ketenteraan lebih kuat di rantau itu.
Bulan lalu, Indonesia dilaporkan berkata, kebimbangan terhadap AUKUS boleh mendorong perlumbaan senjata serantau, ketika ketegangan di Laut China Timur dan Selatan semakin meningkat.
Laluan perkapalan penting itu membawa komoditi trilion dolar atau sekitar 1/3 daripada perdagangan dunia.