Kerajaan kaji undang-undang peringkat negeri, luar negara berkait lompat parti

Kerajaan kaji undang-undang peringkat negeri, luar negara berkait lompat parti

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata selain itu kerajaan turut meneliti model perundangan beberapa negara.

Dapatan daripada kajian akan dibincangkan melalui sesi libat urus bipartisan, menurut Wan Junaidi Tuanku Jaafar. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedang mengkaji undang-undang yang digunakan di peringkat negeri termasuk kes mahkamah yang berlaku di beberapa negeri melibatkan pelaksanaan perundangan berkaitan lompat parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, selain itu, kerajaan turut meneliti model perundangan beberapa negara seperti India, Singapura, New Zealand dan United Kingdom melibatkan peruntukan undang-undang lompat parti.

“Dapatan daripada kajian ini akan dibincangkan melalui sesi libat urus bipartisan,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator N Balasubramaniam yang ingin tahu sejauh manakah kesediaan kerajaan untuk mewujudkan undang-undang antilompat parti.

Wan Junaidi berkata, kerajaan komited untuk memastikan undang-undang antilompat parti yang akan digubal dapat melindungi hak rakyat di negara ini yang memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli politik ketika proses pilihan raya.

“Kerajaan akan memastikan sesi libat urus yang menyeluruh diadakan bersama pihak berkepentingan, badan bukan kerajaan, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta rakyat agar rang undang-undang baharu yang diperkenalkan mendapat sokongan semua pihak,” katanya.

Menjawab soalan tambahan A Kesavadas mengenai bentuk libat urus yang sedang dilakukan oleh kerajaan dengan pakar perundangan negara luar bagi memuktamadkan intipati undang-undang antilompat parti, Wan Junaidi berkata, setakat ini tiada keperluan untuk mengadakan libat urus dengan pakar perundangan luar negara.

“Saya cukup yakin pihak kementerian saya dan juga Peguam Negara mempunyai cukup kepakaran selain daripada peguam kita di seluruh negara, maka keperluan libat urus dengan pakar undang-undang luar negara tidak perlu dibuat.

“Bagaimanapun kita menggunakan model undang-undang di negara yang saya sebutkan tadi dan kita boleh melihat kelemahan dan kekuatannya serta menilai dari sudut perlembagaan kita sendiri dan kehendak rakyat kita mengenai jenis undang-undang yang perlu kita perkenalkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.