Arak Timah dianggap penghinaan, ‘Captain Speedy’ lagi sesuai, cadang Mufti P Pinang

Arak Timah dianggap penghinaan, ‘Captain Speedy’ lagi sesuai, cadang Mufti P Pinang

Wan Salim Wan Mohd Nor berkata menjadi kelaziman bagi masyarakat Melayu bahawa "Timah" singkatan nama "Fatimah", iaitu nama puteri Nabi Muhammad.

Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata jenama arak menggunakan nama Timah dianggap penghinaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menjenamakan arak dengan nama “Timah” dianggap oleh pihak tertentu sebagai penghinaan yang tidak seharusnya berlaku, kata Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor.

Katanya, sudah menjadi kelaziman bagi masyarakat Melayu bahawa “Timah” singkatan nama “Fatimah”, iaitu nama puteri Nabi Muhammad.

Beliau juga rasa kurang senang dan kecewa dengan arak buatan tempatan itu yang memaparkan wajah seorang lelaki berjanggut dan memakai penutup kepala yang dilihat seperti kopiah.

“Pengeluar wiski berkenaan perlu peka terhadap sensitiviti umat Islam berkaitan dengan isu ini.

“Lebih memburukkan keadaan apabila gambar yang dipaparkan di botol minuman tersebut seolah-olah imej seorang yang beragama dengan kopiah dan janggutnya,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, pengurusan pengeluar arak jenama Timah dalam dalam kenyataan di Facebook tampil menjelaskan beberapa maklumat salah yang tersebar agar tidak berlaku salah faham.

Katanya, perkataan “timah” yang digunakannya merujuk kepada logam timah, manakala jenama “Timah Whiskey” bersempena perlombongan bijih timah ketika Tanah Melayu ditadbir British.

Gambar lelaki berjanggut dengan penutup kepala pula merupakan Kapten Speedy, yang memperkenalkan budaya wiski ketika zaman tersebut.

“Sebarang tafsiran berhubung nama jenama kami yang tidak berkaitan dengan perlombongan bijih timah Malaysia adalah palsu,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Salim berkata bagi masyarakat Islam, tidak sepatutnya Malaysia menjadi negara pengeluar wiski.

Beliau berkata, pihaknya tidak membantah arak diminum oleh orang bukan Islam, tetapi kerajaan perlu mengarahkan syarikat pengeluar minuman itu segera menukar jenamanya serta gambar pada botol supaya tidak menyentuh sensitiviti umat Islam.

“Ini demi memelihara suasana harmoni dalam hubungan antara pelbagai kaum.

“Kita juga berharap pemimpin politik tanah air terutama yang beragama Islam akan turut menyatakan bantahan terhadap tindakan tidak sensitif oleh syarikat pengeluar minuman beralkohol ini,” katanya.

Salim turut mencadangkan arak itu ditukar nama kepada “Captain Speedy”.

“Rasanya itu lebih sesuai. Dalam dunia revolusi terkini segala maklumat terlalu cepat merebak. ‘Don’t take for granted’ orang Islam tak tahu sebab mereka tak masuk kedai arak,” katanya.

Beliau berkata, tindakan segera perlu dilakukan bagi mengelak kontroversi seberapa yang boleh.

“Jadi lebih bijak jika dielakkan perkara yang boleh menyentuh sensitiviti orang Melayu ini dan hindarkan apa jua yang boleh membawa kepada ketegangan dalam hubungan antara kaum,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.