Jangan bahayakan pelajar, segera dapatkan vaksin, PM ingatkan guru

Jangan bahayakan pelajar, segera dapatkan vaksin, PM ingatkan guru

Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun belum menjadi kewajiban, tetapi warga pendidik berisiko meningkatkan jangkitan kerana bakal bersemuka dengan pelajar.

Sekiranya belum mendapat vaksinasi, warga pendidik tidak akan dapat menikmati keistimewaan yang diberikan kepada individu yang sudah mendapatkan vaksin, menurut Ismail Sabri Yaakob.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob meminta warga pendidik agar segera mendapatkan vaksin Covid-19 demi perlindungan diri dan pelajar sekolah.

Ismail berkata, setakat ini walaupun belum menjadi kewajiban bagi guru untuk mendapatkan vaksin, tetapi mereka berisiko meningkatkan jangkitan kerana bakal bersemuka dengan pelajar ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas kelak.

“Misalnya, guru sekolah rendah yang belum dapat vaksin, ia akan merisikokan murid mereka termasuk rakan-rakan guru, sebab itu Kementerian Pendidikan tegas dalam aspek vaksin ini.

“Kalau dengan kehadiran kita yang tidak divaksin ini bahayakan orang lain, maka kita sepatutnya ambil tanggungjawab lindungi rakan-rakan yang sama mengajar di sekolah, lebih penting kesihatan murid-murid,” katanya menurut laporan Bernama.

Menurut Ismail, sekiranya belum mendapat vaksinasi, golongan ini tidak akan dapat menikmati keistimewaan yang diberikan kepada individu yang sudah mendapatkan vaksin, misalnya rentas negeri.

Justeru, beliau meminta warga pendidik dan individu lain yang belum mendapatkan suntikan vaksin, agar segera berbuat demikian.

Menyentuh mengenai bantuan peranti itu, Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera berkata beliau mengharapkan ia dapat membantu meningkatkan mutu pelajaran pelajar sekali gus membaiki keputusan peperiksaan mereka.

“Kita harap mereka gunakan peranti ini dengan betul dan manfaatkan sepenuhnya, misalnya menggunakannya mencari bahan tambahan untuk belajar…bila dah ada peranti, capaian internet juga penting, dan saya sudah minta pihak terlibat naik taraf (internet) di kawasan-kawasan yang mempunyai capaian internet kurang memuaskan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Pahang Mohammad Rosli Abdul Rahman berkata, kadar vaksinasi keseluruhan guru di Pahang mencatatkan 98 peratus dan ia satu perkembangan yang baik, manakala 88% remaja sekolah berumur 12 hingga 17 tahun juga telah mendapatkan vaksin.

Di samping situasi Covid-19 yang semakin terkawal, beliau berkata terdapat 167 orang murid di Pahang terjejas emosi, jiwa, perasaan dan kehidupan selepas kematian ibu dan bapa mereka akibat wabak Covid-19.

Selain itu, Rosli berkata sebanyak 9,429 atau 92% pelajar daripada 11,052 yang disasarkan menerima peranti itu telah menerima peranti masing-masing, dan bakinya akan diagihkan secara berperingkat kepada keseluruhan 132 sekolah terlibat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.