Malaysia mahu disenaraikan negara risiko rendah ke Thailand

Malaysia mahu disenaraikan negara risiko rendah ke Thailand

Thailand rancang tamatkan kuarantin bagi pelawat lengkap divaksin dari negara berisiko rendah yang menggunakan perkhidmatan udara mulai 1 November.

Rundingan akan diadakan dengan kerajaan Thailand bagi membolehkan pelawat lengkap divaksin dari negara ini dikecualikan kuarantin wajib, kata Duta Malaysia ke Thailand Jojie Samuel. (Gambar Bernama)
BANGKOK:
Rundingan akan diadakan untuk memasukkan Malaysia dalam senarai negara berisiko rendah bagi membolehkan pelawat yang lengkap vaksin Covid-19, dikecualikan menjalani kuarantin wajib 14 hari ketika memasuki Thailand.

Duta Malaysia ke Thailand Jojie Samuel, berkata Thailand merancang menamatkan kuarantin kepada pelawat lengkap divaksin dari negara berisiko rendah yang menggunakan perkhidmatan udara mulai 1 November, memandangkan situasi Covid-19 di negara itu semakin baik.

Namun, Malaysia tidak termasuk dalam senarai itu.

“Jumlah kes di Malaysia sudah menunjukkan penurunan kerana kadar vaksinasi yang tinggi. Sehingga kini, terdapat lebih 90% populasi dewasa di Malaysia telah lengkap divaksin.

“Oleh itu, kita sedang dalam perbincangan dan lihat bagaimana Malaysia boleh dimasukkan dalam senarai berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Jojie menghadiri sesi kecergasan dengan rakyat Malaysia di Bangkok, pegawai kedutaan dan ahli keluarga mereka sempena Hari Sukan Negara pada 9 Oktober.

Minggu lalu, Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha, mengumumkan pelawat yang lengkap vaksin Covid-19 dari sekurang-kurangnya 10 negara berisiko rendah, yang tiba melalui perkhidmatan udara dikecualikan daripada menjalani kuarantin, mulai 1 November.

Negara berisiko rendah itu termasuk United Kingdom, Singapura, Jerman, China dan Amerika Syarikat.

Setakat ini, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) belum memuktamadkan senarai berkenaan.

Namun, media tempatan melaporkan terdapat lebih 10 negara termasuk dalam senarai itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.