
Pengarahnya Sazali Mohamad berkata, menerusi pemeriksaan ke atas sebuah treler di Jalan Bertingkat Skudai, Kampung Pasir, pada 5.30 petang, 30 Sept lepas pihaknya merampas 9,364 alat ganti kereta.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati alat ganti berkenaan diikrar dengan nilai dan kuantiti yang tidak benar serta mengelirukan, dipercayai mengelak daripada dikenakan cukai yang tinggi.
“Justeru itu, kita merampas alat ganti bernilai RM509,076 termasuk duti dan cukai itu serta treler bernilai RM80,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, pemandu treler berusia 51 tahun itu kini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 133 (1) Akta Kastam 1967.
Sazali berkata, menerusi pemeriksaan ke atas sebuah treler semi kargo di Plaza Tol Kempas (Arah Utara) pada 9 pagi, 8 Okt lepas pula pihaknya merampas 17,000 botol minuman keras yang disembunyikan di ruangan kargo kenderaan terbabit.
Beliau berkata treler itu dipandu seorang lelaki berusia 56 tahun dan dibantu seorang kelindan lelaki berusia 34 tahun.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati minuman keras itu diikrar sebagai minuman “mineral nutrien mixture liquid” dengan tujuan untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
“Kita berjaya memintas treler berkenaan ketika pemandunya selesai membayar tol. Semua minuman keras yang dipercayai diseludup dari negara jiran itu dianggarkan bernilai RM324,720 manakala duti serta cukai pula kira-kira RM1.7 juta,” katanya.
Sazali berkata, treler bernilai RM100,000 itu turut disita manakala pemandu serta kelindannya ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.