Warga asing lengkap vaksin dibenar masuk Malaysia tak lama lagi, kata Muhyiddin

Warga asing lengkap vaksin dibenar masuk Malaysia tak lama lagi, kata Muhyiddin

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin berkata mereka akan dibenar masuk ke negara ini tanpa perlu menjalani kuarantin wajib.

KUALA LUMPUR:
Putrajaya sedang mempertimbangkan untuk membuka semula pintu sempadan kepada warga asing dari negara tertentu yang telah lengkap vaksin Covid-19.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin berkata mereka akan dibenarkan masuk ke negara ini tanpa perlu menjalani kuarantin wajib melalui pengiktirafan sijil vaksin seperti yang dilaksanakan di negara lain.

“Ini untuk memberi rangsangan kepada ekonomi terutamanya di sektor pelancongan. Bagaimanapun, perkara ini akan dimuktamadkan nanti,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis itu hari ini.

Katanya, pembukaan semula sempadan juga diharapkan mampu merancakkan semula kegiatan ekonomi lain seperti sektor pelancongan, konvensyen antarabangsa dan peruncitan.

Muhyiddin berkata cadangan itu dibuat memandangkan kes harian Covid-19 menunjukkan trend penurunan dan kadar vaksinasi yang tinggi, terutama bagi populasi dewasa.

“Berdasarkan perkembangan positif ini, mesyuarat dimaklumkan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membuka sempadan negara dengan membenarkan pelawat asing dari negara-negara tertentu yang telah divaksin untuk memasuki negara ini tanpa perlu menjalani kuarantin wajib.

“Ia melalui program ‘mutual recognition of vaccine certificate’ sepertimana yang telah dilaksanakan di beberapa negara lain,” katanya.

Bekas perdana menteri itu menambah mesyuarat hari ini juga tertumpu pada dua kumpulan yang paling terjejas dengan wabak Covid-19, iaitu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan golongan rentan.

“Mengambilkira pelbagai bantuan dan inisiatif sedia ada berkaitan kewangan dan penyediaan tenaga kerja kepada PKS di bawah pelbagai kementerian dan agensi, Majlis berpandangan bahawa satu analisis lebih terperinci perlu dibuat bagi memastikan penyelesaian jangka masa pendek dan jangka masa panjang yang lebih berfokus.

“Sebuah pasukan petugas khas dibentuk melibatkan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Sumber Manusia untuk memperhalusi perkara berkenaan isu pembiayaan dan tenaga kerja,” kata Muhyiddin.

Beliau menambah pasukan petugas itu akan membentangkan kajian terperinci dan syor-syor dalam masa sebulan kepada Majlis untuk pertimbangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.