PRN Melaka: Umno enggan terburu-buru, masih kumpul maklumat kerjasama PN

PRN Melaka: Umno enggan terburu-buru, masih kumpul maklumat kerjasama PN

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata maklum balas mengenai kerjasama itu akan diperhalusi pada mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata, parti itu tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan mengenai kerjasama dengan Perikatan Nasional pada PRN Melaka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Umno masih mengumpul maklum balas daripada banyak pihak, termasuk kepemimpinan parti itu dalam membuat keputusan berhubung kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata, parti itu juga tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan mengenai perkara berkenaan.

Katanya, maklum balas mengenai kerjasama itu akan diperhalusi pada mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dijangka diadakan selepas pengumuman berkaitan PRN Melaka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita membincangkan semua perkara pada mesyuarat MKT malam tadi, namun belum membuat keputusan (mengenai kerjasama dengan PN). Kita juga mendapatkan maklum balas dan pandangan sebelum membuat keputusan.

“Tiada keperluan mendesak untuk membuat keputusan itu dan kita juga tidak boleh mendahului SPR yang akan menentukan sama ada PRN boleh diadakan atau sebaliknya.

“Jika SPR menentukan pilihan raya itu boleh diadakan dan tarikh sudah diumumkan, kita akan membuat keputusan mengenai kerjasama berkenaan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Melaka.

Dalam pada itu Ahmad memaklumkan, kunjungannya ke Melaka adalah untuk meninjau persiapan menghadapi PRN.

Beliau berkata, beberapa lagi siri kunjungan akan dilakukan oleh pucuk kepemimpinan parti, termasuk lawatan ke kawasan DUN oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, pada Selasa dan Khamis depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.