
Dalam video yang tular hari ini, penunggang itu dilihat perlahan-lahan mendekati lelaki buta terbabit yang “terperangkap” di persimpangan lampu isyarat berkenaan.
Lelaki buta itu kelihatan mengetuk permukaan jalan dengan tongkatnya.
Tanpa menunggu lama, penunggang itu memaut lengan kiri lelaki buta terbabit, lalu memimpinnya ke seberang jalan, yang melalui satu lagi lampu isyarat.
Lebih mengharukan, lelaki buta berusia lingkungan 50-an itu pantas menuruti saja penunggang berkenaan melintas jalan, seolah-olah memberi sepenuh kepercayaan kepada lelaki tidak dikenalinya.
Sejurus membimbing lelaki buta terbabit, penunggang itu bergegas mendapatkan semula motosikalnya dan beredar.
Dalam rakaman video berdurasi 40 saat itu, sikap penunggang berkenaan menimbulkan rasa kagum warganet, dengan menggambarkannya mempunyai hati yang mulia.
@thedoctor654slmt ptg
Hantaran video di aplikasi TikTok itu mendapat lebih 30,000 tanda suka, dengan kebanyakannya melontarkan pujian terhadap penunggang berkenaan.
Pengguna, Jamal Pak Tongkol, berkata “mulia hati brader tu moga sentiasa dilimpahi rezeki yang tidak putus-putus aamiin”.
Manakala, seorang lagi pengguna, Puan Rei, berkata “semoga segala urusan dipermudahkan, dilimpahkan rezeki”.