KKMM akan siasat rakaman audio mengenai isu Melaka

KKMM akan siasat rakaman audio mengenai isu Melaka

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul kecewa isu perbualan rakaman audio tersebar di media sosial melibatkan pemimpin tertinggi parti semakin menjadi 'trend’.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin berkata isu rakaman audio itu akan disiasat.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menyiasat rakaman audio yang didakwa perbualan membabitkan bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Timbalan Menterinya Zahidi Zainul Abidin berkata, adalah mengecewakan apabila isu rakaman audio perbualan tersebar di media sosial melibatkan pemimpin tertinggi parti semakin menjadi “trend”.

“Mesyuarat hari ini ada sentuh tentang rakaman telefon. Perkara ini sudah berlaku banyak… tindakan tidak bertanggungjawab pihak suka rakam perbualan dalam telefon.

“Ini sepatutnya jadi ‘private’ dan hari ini antaranya ahli MKT kecewa dan menyatakan pendirian perlu disiasat agar perkara ini tak berlaku lagi,” katanya selepas Mesyuarat MKT Umno malam ini.

Pada 12 Okt lalu, Idris yang juga ADUN Sungai Udang menafikan ada kaitan dengan rakaman audio tular yang didakwa perbualan telefon beliau dan Ismail.

Menurut laporan itu, suara dikatakan mirip Idris itu mendakwa menerima pujian daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin Umno susulan penarikan sokongannya terhadap Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali.

Suara itu juga mendakwa Idris memperolehi sokongan ADUN secukupnya untuk menubuhkan kerajaan baharu, termasuk daripada DAP.

Namun, suara dikatakan mirip Ismail meminta gerakan menarik balik sokongan terhadap Sulaiman itu dihentikan, agar kredibilitinya sebagai Perdana Menteri tidak dipersoalkan.

Dalam pada itu, Zahidi berkata belum ada laporan polis dibuat terhadap penyebaran audio itu tetapi KKMM akan membuat siasatan terlebih dahulu.

Katanya, siasatan dibuat sama ada mahu melihat adakah ada syarikat telekomunikasi terlibat dengan penyebaran rakaman audio itu atau ada individu menggunakan kepentingan peribadi untuk digunakan dalam kempen pilihan raya nanti.

“Sebab dulu berlaku pada Najib Razak, kemudian berlaku pada Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi. Sekarang berlaku kepada Perdana Menteri.

“Perkara ini cukup memalukan. Kita tak buka kertas siasatan dan libatkan polis lagi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.