Warganet berang kartun kritik percutian, beli-belah di Langkawi

Warganet berang kartun kritik percutian, beli-belah di Langkawi

Jabatan Penerangan Johor memadamkan kartun itu selepas dikritik warganet.

Ciapan mengandungi kartun yang sudah dipadamkan, tetapi sebelum tangkap layarnya tersebar di media sosial.
PETALING JAYA:
Warganet mengkritik Jabatan Penerangan Johor yang dilihat memerli rakyat dalam kartun yang dikatakan dimuat naik ke akaun Twitternya.

Dalam satu daripada kartun itu, seorang suami mengadu mengenai sekatan pergerakan, manakala isternya berkata, simpanan mereka hampir kehabisan.

Dalam kartun berikutnya, pasangan itu dilihat berlatarbelakangkan sebuah pesawat yang tiba di Langkawi dan si isteri berkata: “Dah lama tak ‘shopping’ kat sini.”

Tangkap layar kartun itu disertakan keterangan: “Utamakan keperluan, berbelanjalah mengikut kemampuan. #KeluargaMalaysia #JabatanPenerangan”.

Kartun itu didakwa sudah dipadam daripada Twitter jabatan itu.

FMT cuba menghubungi jabatan itu untuk ulasan.

Antara mereka yang mengkritik kartun itu ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Kenapa nak perli-perli rakyat ni? Rakyat nak mengadu susah, tak boleh. Rakyat nak keluar ambil angin, pun tak boleh?

“Apa objektif dibuat penerangan begini? Apa yang kamu mahu kami buat dari penerangan macam ni?” soalnya menerusi Twitter.

Seorang pengguna Twitter @EanMuzaffa berkata: “Kenapa kerajaan perli rakyat boleh, kalau rakyat perli kerajaan kena angkut?”

@The_Gathis berkata: “Dah kata nak suruh bantu tingkatkan ekonomi negara. Rakyat bercuti dalam negara sambil ‘release tension’ ni sebab nak bantu ekonomi negara lah. Apa benda sebenarnya depa ni nak?”

@Bigbear8816 berkata, kartun itu tidak sensitif sama sekali dan beliau menyindir mungkin hanya menteri mampu menikmati kemewahan untuk melancong ke Langkawi.

@harithhatta mempersoalkan apa yang jabatan itu fikirkan ketika memuat naik kartun berkenaan, sementara @Asma33114 berkata, kartun itu membuatkan rakyat kelihatan tidak berhak menikmati kegembiraan.

@doublefacet pula bertanya :”Apa yang nak diperli-perli rakyat? Yang berupaya melancong tu hanya segelintir saja, majoriti masih tergiang-giang memikirkan macam mana nak cari makan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.