Wajibkan bina lorong motosikal bersama jalan raya baharu, saran pakar

Wajibkan bina lorong motosikal bersama jalan raya baharu, saran pakar

Ini dapat membantu mengurangkan kemalangan membabitkan motosikal, kata pakar keselamatan jalan raya.

Pakar keselamatan jalan raya mencadangkan pembinaan lorong motosikal dan penggunaan pakaian perlindungan bagi mengurangkan kematian dalam kalangan pengguna kenderaan itu.
PETALING JAYA:
Wujud keperluan menggubal undang-undang yang mewajibkan pembinaan lorong motosikal di setiap jalan baharu, menurut seorang pakar keselamatan jalan raya.

Law Teik Hua dari Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia berkata, ini akan membantu mengurangkan kemalangan membabitkan motosikal.

Katanya, menambah lorong motosikal di jalan raya sedia ada mungkin sukar kerana proses “retrofit” menelan kos yang tinggi.

“Oleh itu, undang-undang harus digubal untuk memastikan apabila jalan raya dibina, lorong motosikal akan turut dibina,” katanya.

Law Teik Hua.

Lorong motosikal akan membantu mengurangkan kematian sebanyak 30% hingga 40%, tambah Law.

Baru-baru ini dilaporkan bahawa Malaysia semakin hampir menggantikan Thailand sebagai negara dengan kadar kematian membabitkan pengguna motosikal tertinggi di dunia. Tahun ini, tujuh daripada 10 orang yang terkorban di jalan raya di Malaysia adalah pengguna motosikal.

Angka rasmi daripada Jabatan Trafik Bukit Aman menunjukkan, 70.2% daripada 2,954 kematian di seluruh negara (membabitkan semua jenis kenderaan) dari Januari hingga Ogos terdiri daripada pengguna motosikal.

Di Thailand, menurut Laporan Status Global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2018 mengenai Keselamatan Jalan Raya, pengguna kenderaan beroda dua dan tiga menyumbang 74% daripada keseluruhan 22,491 kematian yang dianggarkan.

Law berkata, kemalangan sering berlaku di lebuh raya di mana pengguna motosikal menggunakan lorong kecemasan kerana menganggap ia laluan mereka.

“Terdapat banyak kemalangan jalan raya membabitkan pengguna motosikal yang menggunakan lorong kecemasan di lebuh raya. Lorong kecemasan sepatutnya hanya digunakan bagi tujuan kecemasan.

“Kerajaan tidak boleh menutup mata dan menganggap ini bukan masalah besar,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga harus fokus kepada usaha memperbaiki pengangkutan awam sebagai penyelesaian jangka panjang.

Rosli Azad Khan.

Perunding perancangan pengangkutan, Rosli Azad Khan berkata, pakaian perlindungan seperti yang digunakan penunggang motosikal berkuasa tinggi harus diwajibkan bagi penunggang motosikal lain.

Rosli berkata, ini akan lebih melindungi daripada kecederaan kerana pada masa ini, tiada ciri keselamatan lain buat mereka kecuali topi keledar.

Katanya, pengguna motosikal cenderung mengambil risiko dengan menunggang laju di antara kenderaan dan lorong di jalan raya, selain memotong di tempat tidak sepatutnya, selalunya di sebelah kiri, iaitu pada titik buta pemandu kenderaan lain.

Beliau menyarankan agar pengguna motosikal berkuasa kecil, 250CC dan ke bawah, mengelak daripada menggunakan lebuh raya.

“Motosikal kecil akan mengalami hanyutan udara daripada kenderaan lain yang lebih laju, terutamanya bas, van dan lori, di lebuh raya,” katanya.

Kemalangan pada kelajuan tinggi sebegini katanya, selalunya mengorbankan pengguna motosikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.