Suntikan dos penggalak, ketiga: Peranan klinik swasta masih samar, kata MMA

Suntikan dos penggalak, ketiga: Peranan klinik swasta masih samar, kata MMA

Persatuan Perubatan Malaysia berkata klinik swasta masih tidak jelas sejauh mana pembabitan mereka.

Kementerian Kesihatan didakwa belum memberikan sebarang butiran mengenai pemberian suntikan dos penggalak dan ketiga oleh klinik swasta.
PETALING JAYA:
Klinik swasta masih tidak jelas sejauh manakah pembabitan mereka dalam pemberian suntikan penggalak dan dos ketiga vaksin Covid-19.

Kebanyakan doktor di klinik swasta belum menerima butiran mengenai program itu yang bermula secara rasmi semalam, daripada Jabatan Kesihatan Negeri.

Dalam kenyataan, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, belum ada makluman mengenai klinik yang akan mengambil bahagian memberikan dos penggalak dan dos ketiga.

“Tiada perancangan dan penyelarasan, sepanjang pengetahuan kami.

“Kami berharap semua klinik swasta yang berfungsi sebagai pusat vaksin sebelum ini akan dibenarkan beroperasi, bukannya sekumpulan kecil sahaja. Kriteria pemilihan juga masih tidak diketahui,” kata Presiden MMA Dr Koh Kar Chai.

Katanya, lebih 1,600 klinik swasta membantu dalam fasa awal proses vaksinasi negara ini, namun belum dimaklumkan mengenai peranan dalam memberikan dos penggalak oleh pihak berkuasa kesihatan negeri.

“MMA bimbang kisah lama berulang, iaitu apabila klinik swasta hanya menerima makluman pada saat akhir. Ketika ini pun orang ramai banyak menghubungi klinik swasta untuk bertanya mengenai dos penggalak.

“MMA difahamkan sekitar 8.75 juta orang akan menerima dos ketiga atau penggalak, jadi pelaksanaannya perlu dirancang dan diselaraskan dengan sebaiknya.

“Perlu ada kecekapan dan kepantasan dalam program vaksinasi dos ketiga dan penggalak yang dirancang ini.”

Kor berkata, “pelaksanaan lemah” oleh pihak berkuasa negeri mesti ditangani segera untuk memastikan pemberian dos tambahan berkenaan berjaya.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan dos tambahan vaksin akan diberikan dalam masa terdekat.

Katanya, pemberian suntikan penggalak akan diterajui oleh klinik swasta kepada pekerja barisan hadapan dan warga emas berusia 60 tahun ke atas, yang telah menerima dos lengkap sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.