Portal Rumah Siswa utama aspek keselamatan pelajar

Portal Rumah Siswa utama aspek keselamatan pelajar

Portal Rumah Siswa akan dipantau kementerian dan IPT untuk memastikan aspek keselamatan pelajar luar kampus terus terjaga.

Setakat 12 Okt, bilangan rumah sewa yang didaftarkan adalah sebanyak 1,406 buah manakala jumlah pelajar yang mendaftar ialah 3,138 orang mahasiswa.
PETALING JAYA:
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memastikan Portal Rumah Siswa yang diwujudkan dapat menjamin keselamatan pelajar dan kesahihan maklumat rumah atau bilik yang bakal disewa.

Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof Madya Dr Mohd Suzeren Md Jamil berkata, selain menawarkan pelbagai kemudahan, portal tersebut turut dipantau oleh pihak kementerian dan institusi pengajian tinggi (IPT) terbabit.

“Portal ini dapat memastikan wujud pangkalan data khusus di peringkat universiti berkaitan lokasi penginapan, kemudahan diperolehi, jarak akses kemudahan universiti serta paling penting aspek keselamatan pelajar luar kampus.

“Portal Rumah Siswa itu sendiri dipantau oleh Kementerian dan pihak IPT. Pelajar boleh dapatkan maklumat seperti harga sewa, kapasiti dan maklumat pihak penyewa berhubung rumah/bilik sewa yang tepat,” katanya dalam satu temu bual secara maya bersama media.

Suzeren berkata, KPT sentiasa peka terhadap keperluan semasa mahasiswa dan menurutnya masalah rumah sewa sudah lama wujud dan pelbagai aduan diterima daripada kalangan pelajar serta ibu bapa.

Beliau berkata, antara keluhan yang diterima adalah kesukaran mencari rumah atau bilik sewa, harga sewa terlalu tinggi yang membebani pelajar selain terpaksa bersesak-sesak dalam kediaman yang sempit.

Justeru, kriteria premis yang berdaftar dengan portal ini antaranya merangkumi aspek keselesaan, kadar sewa berpatutan serta persekitaran yang kondusif.

Sehubungan itu Suzeren berkata, seharusnya aspek kebajikan pelajar luar kampus diberi perhatian sewajarnya dan pemantauan khusus serta teratur oleh setiap universiti.

Katanya, selain Portal Rumah Siswa, dua lagi inisiatif dalam agenda itu ialah penubuhan Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus dan pembangunan Garis Panduan Pengurusan Pelajar Luar Kampus.

Jelasnya, Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus berfungsi sebagai pentadbir, penasihat, khidmat kaunseling perumahan dan pemantau kepada pelaksanaan program dan aktiviti pelajar luar kampus.

Mengulas lanjut beliau berkata, inisiatif ini adalah satu usaha berterusan, justeru KPT akan cuba menambah baik dan menaik taraf fungsi-fungsi Portal Rumah Siswa dari semasa ke semasa.

“Di peringkat KPT kami mempunyai perancangan untuk membangunkan aplikasi mudah alih bagi memudahkan akses kepada portal. KPT juga bercadang untuk menambah beberapa ciri tambahan seperti “star rating” sebagai kaedah penilaian kendiri,” ujarnya.

Ditanya mengenai sambutan inisiatif portal tersebut beliau berkata, setakat 12 Okt, bilangan rumah sewa yang telah didaftarkan adalah 1,406 buah manakala jumlah pelajar yang mendaftar sebanyak 3,138 orang mahasiswa.

“Saya berharap portal ini akan terus diguna dan dimanfaatkan pelajar luar kampus untuk mendapat kediaman yang kondusif hasil akses capaian yang mudah dan pantas, selaras hasrat murni kerajaan untuk menjamin kesejahteraan pelajar di IPT seluruh negara.”

Portal Rumah Siswa yang dilancarkan pada 4 Mac lalu, merupakan platform yang menghubungkan pelajar sebagai penyewa dengan pemilik premis dan mahasiswa boleh mengakses portal itu menerusi pautan: rumahsiswa.mohe.gov.my dan daftar menggunakan e-mel institusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.