
Ketua Pemuda PH, Howard Lee menyifatkan dakwaan itu seperti menconteng arang ke wajah kedaulatan negara.
Oleh itu katanya, siasatan secara telus dan teliti terhadap dakwaan pengaliran keluar wang berjumlah RM1.8 trilion dari 2005 hingga 2015 secara haram seperti yang dilaporkan Global Financial Integrity (GFI) perlu disegerakan.
Katanya, dakwaan dalam Kertas Pandora itu perlu dibahaskan di Parlimen dan Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat impak serta implikasinya terhadap rakyat.
“Kami mahu siasatan dipercepatkan berhubung dakwaan Kertas Pandora yang mendedahkan pelbagai aktiviti kewangan luar pesisir dalam usaha menyembunyikan aset berjumlah berbilion ringgit,” katanya dalam sidang media di sini.
Turut hadir Ketua Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang; Ketua Pemuda DAP Sabah, Phoong Jin Zhe; Ketua Pemuda Amanah Sabah, Rendy Ismail dan Pengerusi MUDA Sabah, Shahrizal Denci.
Lee berkata, pendedahan dalam Kertas Pandora mencemarkan integriti negara dan tidak boleh dipandang ringan pihak berkuasa.
“Implikasinya cukup serius dan wajib diambil peduli kerana kita tidak boleh terima Malaysia kini bergelumang dengan manipulasi harta negara untuk kepentingan peribadi.
“Individu yang disenaraikan dalam Kertas Pandora terdiri daripada tokoh politik, ahli keluarga mereka dan taikun korporat yang menconteng arang ke wajah seluruh rakyat Malaysia atas tindakan hina ini. Ia seperti meludah ke wajah kedaulatan negara.
“Mereka yang didedahkan mempunyai akaun luar pesisir oleh Kertas Pandora perlu menyerah diri kepada polis bagi membantu pihak berkuasa membersihkan nama mereka jika benar mereka tidak melakukan sebarang aktiviti haram yang melanggar undang-undang serta mencemarkan kedaulatan negara.”