KKM bangunkan sistem daftar bunuh diri, jangka siap 2023

KKM bangunkan sistem daftar bunuh diri, jangka siap 2023

Kementerian Kesihatan (KKM) sedang dalam perincian proses kerja serta pembangunan aplikasi bagi sistem tersebut.

Kementerian Kesihatan akan menggunakan data diperoleh daripada sumber lain untuk melihat statistik kes bunuh diri dan kecederaan fatal di negara ini sementara menunggu sistem itu siap sepenuhnya. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membangunkan sistem Daftar Bunuh Diri dan Kecederaan Fatal Kebangsaan (NSFIRM) yang dijangka siap sepenuhnya pada 2023.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata, buat masa ini KKM sedang dalam perincian proses kerja serta pembangunan aplikasi bagi sistem tersebut yang akan melibatkan semua fasiliti hospital KKM di seluruh negara.

“NSFIRM disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan diperuntukkan RM4 juta bagi pembangunan sistem tersebut.

“Pembangunan NSFIRM akan membolehkan pembangunan statistik terperinci dan tepat berkaitan kejadian bunuh diri dan kecederaan fatal diperoleh, yang akan membantu memperkukuhkan usaha pembangunan dasar dan program pencegahan tingkah laku bunuh diri,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Senator Fadhlina Sidek mengenai status dan pertimbangan kerajaan tentang pelaksanaan semula Daftar Bunuh Diri Kebangsaan bagi membolehkan masyarakat mendapat akses kepada informasi kes bunuh diri.

Noor Azmi berkata, sementara menunggu sistem itu siap sepenuhnya, KKM akan menggunakan data diperoleh daripada sumber lain seperti polis dan Institut Sosial Malaysia, untuk melihat statistik kes bunuh diri dan kecederaan fatal di negara ini.

“Data-data ini akan menunjukkan masalah bunuh diri. Daripada Januari hingga Mac 2021, sebanyak 336 kes direkodkan sedangkan pada tempoh sama tahun lepas 112 kes dilaporkan, iaitu peningkatan sebanyak 67%. Kes didapati melibatkan umur yang produktif antara 19 dan 40 tahun.

“KKM akan mengambil data-data ini untuk melihat bagaimana kita nak mengkaji isu ini dan sebab itulah usaha melaksanakan sistem data bunuh diri dan kecederaan fatal sedang dipergiatkan. KKM sangat serius mengenai perkara ini…kita letakkan dana yang tinggi untuk melaksanakannya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Fadhlina yang mahu tahu apakah mekanisme untuk KKM menjalankan intervensi sekiranya sistem itu belum siap sepenuhnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.