
Panglima Angkatan Tentera, Affendi Buang menyifatkan kejadian semalam menyedihkan dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Katanya, ATM akan menguruskan semua kebajikan keluarga anggota terbabit.
“Kami serahkan kepada polis untuk menentukan jika ada unsur jenayah di situ. Kami tidak mahu ganggu siasatan polis, namun nanti kami akan buat sidang khas untuk jawab dan menerangkan kejadian ini supaya tiada salah faham,” katanya dipetik Utusan Online selepas Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2021 di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin di Gemas.
Semalam, seorang anggota tentera yang berseragam lengkap maut selepas mengamuk dan menembak dirinya dalam kejadian di Kampung Kolong, Sungai Tengah, Matang, Kuching.
Dalam kejadian kira-kira 12.45 tengah hari itu, lelaki berusia 29 tahun itu dikatakan tiba di rumah mentuanya, sebelum melepaskan beberapa das tembakan rambang dan menembak dirinya di kepala.
Anggota berpangkat lans koperal yang bertugas di Rejimen Sempadan ke-10 di Bau, Kuching itu maut di tempat kejadian dan ibu mentuanya yang cedera di bahu kiri dirawat di hospital.
Dia meninggalkan balu berusia 22 tahun dan seorang anak perempuan hasil perkahwinan selama dua tahun.