
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, namun kedudukan antara jemaah berdasarkan penjarakan fizikal 1.5m.
“Aktiviti solat Jumaat turut dibenarkan di halaman atau pekarangan masjid berdasarkan penjarakan fizikal 1.5m. Kakitangan masjid dan jemaah yang hadir wajib menerima dos lengkap suntikan vaksin,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, bagi penerima vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac wajib melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua, manakala bagi penerima vaksin tunggal, iaitu Johnson & Johnson dan CanSino perlu melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

“Jemaah yang hadir ke masjid hendaklah menunjukkan bukti sijil digital vaksin melalui aplikasi MySejahtera kepada petugas masjid,” katanya sambil menambah kebenaran berkenaan mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
Mohamad Rizam turut berkata, kakitangan masjid dan para jemaah yang hadir diwajibkan memakai pelitup muka dan digalakkan memakai dua lapis pelitup muka, membawa sejadah sendiri serta mengambil wuduk dari rumah masing-masing sebelum ke masjid.
Katanya, pihak masjid perlu membuka semua pintu, tingkap dan kipas bagi memastikan sistem pengudaraan yang baik serta selamat dan penggunaan penyaman udara di masjid, surau dan musala tidak digalakkan.
“Semua aktiviti lain seperti majlis zikir, kelas al-Quran, kuliah umum dan khas dan lain-lain adalah tidak dibenarkan. Bagaimanapun kelas-kelas pengajian secara dalam talian adalah digalakkan agar pengimarahan masjid dapat diteruskan,” katanya.
Beliau mengharapkan semua pihak memberi kerjasama dengan ketetapan tersebut dan sekiranya didapati mana-mana masjid, surau dan musala melanggar semua prosedur operasi standard yang telah ditetapkan itu akan diarahkan tutup.