
Setiausaha Kehormat Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Tunku Munawirah Putra berkata, pembelajaran campuran, iaitu menggabungkan kelas fizikal dan maya, harus diutamakan.
“Kita tak boleh kembali kepada cara lama belajar secara bersemuka dan sepenuhnya meninggalkan asas pembelajaran secara maya yang kita terpaksa lalui sebelum ini,” katanya kepada FMT.
Munawirah berkata, kerajaan harus melengkapkan sekolah dan pelajar dengan peranti, rangkaian dan platform pembelajaran maya yang diperlukan.
“Kita perlu memanfaatkan keadaan yang telah kita alami dan berusaha meningkatkan mutu pembelajaran dengan teknologi sebagai pemboleh,” katanya.
Presiden Kesatuan Guru-guru Kerajaan Sabah (KGKS) Hussin Basir berharap akan ada peruntukan lebih besar untuk sambungan internet lebih baik bagi sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak.
Ini bagi merapatkan jurang digital antara sekolah berkenaan dengan sekolah yang berada di Semenanjung.
“Kami juga harap dapat lihat sekolah memperoleh akses lebih mudah kepada kemudahan asas seperti jalan raya, serta bekalan elektrik dan air yang sempurna,” katanya.
Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Adam Prakash Abdullah berkata, prasarana sekolah harus diberi perhatian.
“Keadaan sekolah yang usang tetap sama bertahun-tahun, manakala sekolah yang dalam keadaan baik menjadi lebih baik,” kata Adam kepada FMT.
“STU berharap akan ada peruntukan khas bagi tujuan ini dan pemantauan ketat dijalankan atas pengeluaran dana yang berkait dengannya,” katanya.
Beliau juga berharap Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus mempromosikan program Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) dan membenarkan syarat kemasukan berdasarkan kemahiran, bukan hanya kelayakan akademik.
Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (MAGPIE) Mak Chee Kin berkata, birokrasi yang dihadapi pihak sekolah yang memerlukan naik taraf dan pembaikan perlu dikurangkan.
Contohnya, sebuah pusat yang dijanjikan dana RM500,000 pada 2019 untuk menukar bengkel menjadi dewan sehingga kini masih belum menerima peruntukan berkenaan, kata Mak.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menawarkan subsidi sekali beri kepada setiap pelajar untuk membeli komputer riba.
“Kami ingin menggesa kerajaan supaya mengembalikan dan meningkatkan pelepasan cukai untuk membeli bahan bacaan, baik bagi keperluan peribadi atau sebagai sumbangan kepada sekolah,” katanya.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Wang Heng Suan menyarankan agar kerajaan memberi rebat RM1,000 kepada guru untuk membeli peranti bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) “yang kini menjadi tonggak dalam pendidikan”, katanya.
“Kerajaan juga harus meningkatkan usaha membolehkan murid, terutamanya yang kurang berkemampuan, memiliki lebih banyak peranti bagi tujuan PdPR,” katanya kepada FMT.
Beliau turut berharap kerajaan dapat memberi kenaikan gaji kepada guru-guru yang mempunyai ijazah sarjana dan doktor falsafah dan memberi perhatian kepada mereka yang mencapai gred DG54.
“Sebelum ini, kerajaan mengumumkan usul untuk menempatkan guru pada gred DG56 tetapi belum dilaksanakan. NUTP berharap perkara ini dapat diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Tambahnya, semua penjawat awam, termasuk guru, juga layak mendapat kenaikan gaji tahunan seperti yang dijanjikan dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-16 (MAPPA) pada 2018.