
Tertuduh yang juga penjaga dan pengurus Maikidz Care Center, Sharifah Mazlan, 51, mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.
Mengikut kertas pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu didakwa telah melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia enam tahun di sebuah Pusat Intervensi Autisme, Bandar Baru Ampang pada jam 10 pagi, 1 Oktober lalu.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suriantiazila Muhamad mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Samry Masri.
Terdahulu, Suriantiazila tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh adalah warga Singapura selain memberi alasan bahawa kes terbabit telah mendapat liputan meluas dan melibatkan kepentingan awam.
“Sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, pihak pendakwaan mencadangkan satu jaminan tinggi dikenakan selain syarat-syarat tambahan,” katanya.
Samry pula memohon mahkamah membenarkan ikat jamin dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dan ibu kepada tiga anak.
Katanya, walaupun anak guamnya warga Singapura namun dia berkahwin dengan rakyat tempatan yang berasal dari Perak.
“Tiga anaknya yang berusia 17, 19 dan 21 tahun juga adalah warga tempatan dan dua daripada mereka adalah autisme,” katanya.
Norhazani kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan untuk melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 7hb dan pasportnya juga akan diserahkan kepada mahkamah.
Beliau turut menetapkan 9 Disember untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Selain itu, Sharifah turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan tinggal di Malaysia melebihi tempoh sah selama sembilan bulan.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nur Maizan Rahim selepas pertuduhan dibacakan.
Wanita terbabit didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, jam 12 tengah hari, 8 Okt lalu.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 pindaan 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan juga tidak lebih enam sebatan jika sabit kesalahan.
Nur Maizan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan tarikh sama untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan mengenai penahanan wanita terbabit selepas polis menerima laporan bapa mangsa mengenai kejadian itu.
Bapanya memuat naik gambar dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Facebook mendakwa anaknya dipukul di pusat intervensi terbabit.