Gangguan bekalan air lebih 100 kawasan di Johor

Gangguan bekalan air lebih 100 kawasan di Johor

Pejabat kerajaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pelabuhan Tanjung Pelepas antara terjejas.

Lima daerah terjejas bekalan air akibat kebakaran dua unit transformer.
PETALING JAYA:
Lebih 100 kawasan di lima daerah di Johor mengalami gangguan bekalan air susulan dua unit transformer di Loji Air Semangar, Jalan Kulai-Kota Tinggi, terbakar, semalam.

Ranhill SAJ Sdn Bhd dalam satu kenyataan memberitahu, antara kawasan terlibat ialah Kempas, Skudai, Senai, Austin, Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri, Sedenak, Seelong dan Kulai, Bandaraya Iskandar Puteri; Forest City; Taman Tema Legoland; Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS); Bandar Pulai Jaya; kawasan perindustrian dan taman perumahan.

Selain itu ia turut melibatkan pejabat kerajaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Laut Marin dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Iskandar Puteri.

“Kebakaran mengakibatkan loji henti tugas dan berlaku gangguan bekalan air luar jangka di beberapa kawasan seperti dinyatakan. SAJ sedaya upaya bersama-sama pihak berkaitan menyelesaikan permasalahan ini dan bekalan air bersih akan diterima secara berperingkat,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

SAJ menambah, jika kerosakan berjaya dibaiki dalam masa terdekat, pihaknya menjangkakan tempoh bekalan air akan pulih dalam masa 12 jam.

Dalam pada itu, 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan kenderaan utiliti Pajero dikejarkan ke tempat kejadian.

Komander Operasinya, Penolong Kanan Penguasa Azman Jantan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 2.57 petang.

“Kebakaran dua unit transformer yang musnah 80% itu tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa dan operasi tamat pada 4.45 petang. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.