Buat sesi pendengaran awam sebagai persediaan pandemik, gesa Kit Siang

Buat sesi pendengaran awam sebagai persediaan pandemik, gesa Kit Siang

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata ia perlu dilakukan sekiranya negara mahu bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan berhubung pandemik Covid-19 selepas ini.

Lim berkata, Parlimen pada Isnin lalu telah meluluskan tambahan jumlah ahli dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen daripada tujuh kepada sembilan orang, iaitu lima daripada kerajaan dan empat mewakili pembangkang.
PETALING JAYA:
Veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, khususnya Jawatankuasa Kesihatan, Sains dan Inovasi mengadakan sesi pendengaran awam bagi mendapatkan pengajaran susulan penularan wabak Covid-19 di Malaysia sebagai persediaan untuk berdepan segala kemungkinan berhubung pandemik selepas ini.

Beliau berkata, ia perlu dilakukan sekiranya negara mahu bersiap sedia, terutamanya ketika pakar kesihatan menjangkakan ia boleh kembali pada bila-bila masa dan mungkin lebih membawa maut.

Tambahan lagi katanya, negara juga terus menjadi salah satu negara dengan prestasi terburuk berkait wabak itu dan lebih teruk berbanding Indonesia yang mempunyai lebih lapan kali ganda jumlah penduduk negara ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, ia sekali lagi digambarkan dengan angka kes dan kematian baharu Covid-19 semalam apabila Indonesia mencatatkan 1,261 kes dan 47 kematian berbanding 7,276 kes dan 103 kematian di Malaysia.

“Keadaan ini telah berlanjutan selama lebih daripada seminggu,” katanya dalam kenyataan.

Lim berkata, Parlimen pada Isnin lalu telah meluluskan tambahan jumlah ahli dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen daripada tujuh kepada sembilan orang, iaitu lima daripada kerajaan dan empat mewakili pembangkang.

“Sudah tiba masanya untuk semua sepuluh jawatankuasa ini dibentuk sepenuhnya dalam tempoh 12 hari akan datang sebelum Dewan Rakyat bersidang semula pada 25 Okt untuk pembentangan Belanjawan 2022 dan semua jawatankuasa ini perlu menyiasat bagaimana wabak Covid-19 memberi kesan terhadap bidang mereka,” katanya.

Beliau berkata, selain maklumat terbaru di laman sesawang Parlimen United Kingdom (UK) yang menyatakan pengendalian peringkat awal wabak di negara itu adalah salah satu “kegagalan kesihatan terbesar” dalam sejarahnya, beberapa jawatankuasa pilihan khas mereka juga setakat ini telah menghantar 57 laporan mengenai pandemik Covid-19.

Katanya, sebagai contoh, Jawatankuasa Pilihan Khas Keadilan telah menghantar tujuh laporan berhubung Covid-19 seperti kesannya terhadap penjara, kerjaya guaman, pembaharuan mahkamah dan tribunal dan perkhidmatan pengawasan.

Jawatankuasa Hal Ehwal Negeri pula telah membentangkan enam laporan mengenai wabak Covid-19, termasuklah kesediaan Kementerian Dalam Negeri untuk berdepan kes penderaan rumah tangga dan risiko ancaman dalam negeri, imigresen dan visa, institusi petempatan dan pengurusan sempadan.

Pada masa sama, terdapat lima puluh lagi siasatan dan pendengaran mengenai kesan wabak Covid-19 dalam beberapa bidang kehidupan sedang dijalankan oleh pelbagai jawatankuasa khas itu.

“Jawatankuasa Pilihan Khas di Parlimen Malaysia mempunyai banyak tugas yang menanti mereka untuk memainkan peranan semak imbang terhadap pihak eksekutif seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) pada 13 Sept,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.