Tak perlu ujian Covid-19 untuk pelancong Langkawi

Tak perlu ujian Covid-19 untuk pelancong Langkawi

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, arahan itu berkuat kuasa hari ini.

Kelonggaran itu menyusul sehari selepas perjalanan rentas negeri dibenarkan di seluruh negara semalam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan untuk memberhentikan keperluan ujian pengesanan Covid-19 bagi individu yang ingin melancong ke Langkawi berkuat kuasa hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira peratusan pelancong yang dikesan positif semasa saringan sangat rendah, malah tiada kluster Covid-19 yang berpunca daripada gelembung pelancongan di Langkawi.

“Ia juga selaras kebenaran rentas negeri bagi Keluarga Malaysia, termasuk perjalanan pulang ke kampung dan tempat pelancongan bermula Isnin lepas,” katanya dalam kenyataan.

Khairy berkata, syarat wajib vaksinasi Covid-19 lengkap bagi semua pelancong dewasa yang mengembara ke pulau itu masih perlu dipatuhi, selain menggalakkan pelancong melakukan ujian kendiri Covid-19 sebelum memulakan perjalanan ke Langkawi.

“Bagi individu yang disahkan positif dan dalam tempoh pengasingan dan pemantauan atau dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif yang sedang menjalani perintah kuarantin dan pengawasan, mereka tidak dibenarkan melancong.”

Ahad lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan individu yang lengkap vaksinasi Covid-19 dibenarkan merentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula semalam.

Keputusan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90%.

Sehingga Ahad lalu, Khairy berkata, seramai 54,341 pelancong telah menjalani ujian saringan Covid-19 dengan hanya 216 atau 0.4% pelancong dikesan positif, manakala seorang pelancong mengalami gejala semasa di Langkawi dan didapati positif Covid-19 melalui ujian RT-PCR.

“Siasatan mendapati punca jangkitan bukan di Langkawi,” katanya.

Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi dilaksanakan sejak 16 Sept lalu, dengan setiap pelancong wajib menjalani ujian Covid-19 sebelum memasuki pulau itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.