
Isu terbabit hangat diperkatakan ketika pemberian moratorium pinjaman apabila ada sesetengah pihak mempertikaikan bahawa penangguhan bayaran faedah – tetapi bukan pengecualian – akan membebankan pinjaman pada masa hadapan sebaik mereka mula membuat pembayaran semula.
Weerasena berkata, walaupun pada tahap tertentu, pengecualian itu akan meringankan beban hutang isi rumah, namun ia tidak memberi kesan yang ketara disebabkan kadar faedah terakru yang lebih kecil dalam kalangan peminjam B50.
Katanya, pengecualian faedah yang menyeluruh akan memanfaatkan semua peminjam berbanding mereka yang benar-benar memerlukannya.
“Lebih membimbangkan apabila langkah ini mungkin memberi kesan buruk dalam tempoh jangka panjang apabila bank enggan memberi pinjaman kepada individu dan isi rumah kumpulan B50 kerana dilihat berisiko tinggi.”
Weerasena berkata, pengecualian itu juga dilihat berpotensi menjejaskan kestabilan kewangan negara.
“Sebagai contoh, adakah pengecualian faedah ini akan dilanjutkan kepada enam bulan atau dilanjutkan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS)? Ini akan menjejaskan kecairan dalam sistem perbankan kita dalam tempoh jangka panjang.”
Katanya, pengecualian kadar faedah bersasar kepada mereka yang benar-benar memerlukannya mungkin lebih berkesan tetapi penstrukturan hutang untuk peminjam rentan juga harus dipertimbangkan.
“Ini akan membolehkan individu dan isi rumah rentan mendapatkan fleksibiliti lebih besar dalam tempoh jangka pendek dan boleh menguruskan hutang dengan lebih baik.”
Yeah Kim Leng dari Sunway University berkata, sebarang langkah untuk memaksa bank memberikan pengecualian faedah akan memberi isyarat salah kepada pasaran.
“Sekiranya bank memilih untuk memberi pengecualian sebagai langkah melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), ia adalah baik kerana usaha itu boleh membantu.”
Bagaimanapun Yeah berkata, alternatif yang lebih baik berbanding pengecualian faedah pinjaman ialah penstrukturan hutang kerana ia adalah penyelesaian jangka panjang.
“Keutamaan segera harus diberikan untuk memulihkan semula pendapatan mereka yang terjejas teruk akibat pandemik. Ini boleh dilakukan menerusi subsidi upah, memberi latihan kemahiran, meningkatkan kemahiran atau menambah peluang pekerjaan.
“Ini akan membantu mereka bukan sahaja untuk bangkit daripada pandemik tetapi memastikan golongan itu mampu menjana lebih banyak pendapatan dan meneruskan kelangsungan hidup selepas bersara.”