
Beliau berkata, antara punca utama rakyat Kelantan tidak mendapat air bersih adalah 15 daripada 36 loji rawatan air (LRA) di Kelantan tidak beroperasi pada kapasiti sebenar.
Katanya, kementeriannya memperuntukkan RM664.8 juta bagi kerja-kerja pengurusan aset air di Kelantan untuk tempoh 2021 hingga 2023.
“Ia termasuk pembinaan tiga LRA yang akan beroperasi sepenuhnya pada 2024, yang akan menyalurkan air bersih sebanyak 80 juta liter sehari,” katanya ketika menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) di Dewan Rakyat.
Latiff meminta kerajaan menjelaskan perkembangan terkini penyelesaian masalah air di Kelantan dan pelan jangka pendek serta panjang.
Dalam pada itu Tuan Ibrahim berkata, kementerian juga sudah memulakan kerja-kerja menukar saluran paip uzur sepanjang 515km dengan anggaran kos sebanyak RM218 juta.
“Sehingga kini, kira-kira 106.2km saluran paip uzur sudah diganti dan baki 405km akan diganti secara berperingkat,” katanya.
Bagi penyelesaian jangka panjang beliau berkata, Putrajaya sedang memberi perhatian kepada isu penggunaan air permukaan berbanding air tanah di negeri berkenaan.
“Kajian pembangunan sumber air di Kelantan dijangka ambil masa 18 bulan dan kita akan buat kajian untuk membina dua loji pinggiran air sungai (TAPS) di Kelantan yang dijangka akan menyelesaikan masalah sumber air di negeri ini,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Latiff mengenai kos yang diperuntukkan untuk pembinaan berkenaan, Tuan Ibrahim berkata, ia akan menelan kos sebanyak RM1.8 juta dengan keluasan dianggarkan sebanyak 1,000 ekar.
“Pembinaan loji ini akan menyelesaikan masalah air bersih di Kota Bharu, Machang, Pasir Puteh, Tanah Merah and Pasir Mas dan beberapa kawasan lain, selain meningkatkan simpanan air Kelantan sehingga 20%,” katanya.