
Ahli Majlis Seberang Perai, David Marshal berkata, tuduhan berkenaan bermotifkan politik dan bertujuan menghalang peluangnya dilantik semula ke jawatannya dalam DAP.
Beliau berkhidmat sebagai ahli majlis serta “whip” parti itu sejak 2013.
Selain itu, David mengesyaki ada individu dalam partinya yang bertanggungjawab melemparkan tuduhan itu, malah beliau sendiri telah membuat aduan mengenainya kepada parti.
Bagaimanapun, DAP meminta beliau mengemukakan bukti kukuh.
David berharap polis akan melakukan siasatan menyeluruh supaya namanya dapat dibersihkan.
“Mereka yang terlibat bukan daripada parti lain. Mereka daripada parti ini juga yang mahu memburukkan nama saya dan merosakkan kerjaya politik saya.
“Saya telah memfailkan aduan kepada parti dan diminta mengemukakan bukti kukuh, yang kini berada dengan polis. Saya berharap polis akan melakukan siasatan teliti supaya nama saya dapat dibersihkan,” katanya.
David berkata, beliau akan memfailkan saman fitnah terhadap bekas wartawan, Athi Shankar yang menulis artikel mengenai perkara itu di Facebook, Berita Malaysia Online, dengan menamakannya sebagai suspek utama dalam serangan terhadap Ramachandran.
Katanya, beliau juga akan menyaman mereka yang mengedarkan akuan berkanun (SD) yang dibuat seorang individu bernama Laxmanan Ramadass yang menamakannya suspek utama mengupah penyerang berkenaan.
Laxmanan, seorang penarik kereta di Lunas, Kedah, menulis SD berkenaan pada 7 Okt lalu, namun kini menghilangkan diri dan sedang dicari polis, kata David.

Katanya, beliau membuat dua laporan polis, iaitu pada 9 Okt apabila dimaklumkan mengenai SD berkenaan dan hari ini setelah tahu mengenai artikel yang ditulis oleh Athi.
David berkata, beliau kini bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga kerana mengesyaki beberapa individu terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dan pinjaman wang haram tempatan juga memainkan peranan dalam penyebaran fitnah itu.
“Saya bimbang apa yang terjadi kepada Ramachandran akan berlaku kepada saya juga.
“Saya akan menulis kepada Ketua Polis Pulau Pinang untuk meminta perlindungan bagi saya dan keluarga,” katanya.
Ramachandran, 70, diserang menggunakan parang di luar rumahnya di Alma, Bukit Mertajam pada 23 Julai lalu oleh empat individu.
Motif serangan belum dikenal pasti dan polis telah menahan beberapa suspek berkaitan kes itu.