Bukan vaksin saja penting, pastikan pemeriksaan kesihatan, gaya hidup sihat, kata MMA

Bukan vaksin saja penting, pastikan pemeriksaan kesihatan, gaya hidup sihat, kata MMA

Orang ramai patut sentiasa peka keadaan kesihatan mereka dengan melakukan pemeriksaan perubatan setiap enam bulan, atau saringan kesihatan penuh setiap tahun, kata Presiden MMA Dr Koh Kar Chai.

Kegagalan membuat pemeriksaan kesihatan menyebabkan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, penyakit jantung dan kanser dikesan lambat, kata Dr Koh Kar Chai.
PETALING JAYA:
Pemeriksaan kesihatan secara kerap dan mengamalkan gaya hidup sihat sama pentingnya dalam langkah pencegahan Covid-19, seiring mendapatkan suntikan vaksin dan mematuhi SOP, kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai.

“Lebih 80% kematian akibat Covid-19 di negara ini melibatkan mereka yang mempunyai komorbiditi seperti diabetes dan tekanan darah tinggi. Penyakit-penyakit ini boleh dielakkan jika dikesan awal dan membuat perubahan gaya hidup,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, orang ramai patut sentiasa peka keadaan kesihatan mereka dengan melakukan pemeriksaan perubatan setiap enam bulan, atau saringan kesihatan penuh setiap tahun.

“Kesan perlindungan vaksin akan berkurangan pada satu peringkat, dan kita tidak tahu bagaimana keadaan virus dalam bulan-bulan akan datang. Jadi kita perlu memastikan perlindungan tambahan dengan mengamalkan gaya hidup sihat serta melakukan pemeriksaan secara berkala.

“Lebih-lebih lagi rakyat Malaysia bertambah tertekan, kurang senaman dan hanya duduk di rumah sejak pandemik bermula,” katanya.

Beliau menambah faktor-faktor berkenaan mampu mengakibatkan kesan negatif terhadap kesihatan malah menjejaskan koordinasi kimia dalam badan.

Koh berkata, mengelak melakukan pemeriksaan perubatan antara sebab utama penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, penyakit jantung dan kanser dikesan pada peringkat lewat.

“Penyakit mungkin dikesan pada peringkat yang menyebabkan rawatan perubatan tidak lagi dapat membantu.

“Semakin kita beralih ke fasa endemik, adalah penting untuk rakyat Malaysia lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan mereka. Sekiranya seseorang itu sihat, berkemungkinan besar gejala dialami lebih ringan, selain lebih cepat sembuh sekiranya dijangkiti virus itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.