Mahu melancong rentas negeri? Pastikan lengkap vaksin, kata Nancy

Mahu melancong rentas negeri? Pastikan lengkap vaksin, kata Nancy

Nancy Shukri berkata anak-anak bawah 18 tahun juga boleh melancong bersama ibu bapa atau penjaga yang lengkap divaksinasi.

Pengunjung yang ingin melakukan aktiviti pelancongan digalakkan menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri.
PETALING JAYA:
Kebenaran rentas negeri bagi aktiviti pelancongan tertakluk kepada individu yang lengkap vaksinasi Covid-19, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri.

“Anak-anak bawah umur 18 tahun boleh turut serta (melancong) bersama-sama ibu bapa atau penjaga masing-masing yang telah lengkap divaksinasi,” katanya menurut laporan Bernama.

Nancy menyifatkan pengumuman kebenaran rentas negeri oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam, sebagai khabar gembira yang lama dinantikan penggiat industri pelancongan bagi merancakkan kembali sektor pelancongan, seni dan budaya tempatan.

Katanya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyambut baik pengumuman itu yang dilihat dapat menjamin kelangsungan hidup pekerja dalam rantaian sektor berkenaan, yang telah lama terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

“Saya berharap pelaksanaan pembukaan rentas negeri ini boleh membantu dalam memulihkan kembali sektor pelancongan, seni dan budaya seterusnya dapat membina kembali kekuatan ekonomi negara,” katanya.

Ismail pada sidang media khas semalam memaklumkan kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula hari ini.

Perdana Menteri turut mengumumkan rakyat yang lengkap menerima vaksin Covid-19, dibenarkan melakukan perjalanan ke luar negara tanpa ‘MyTravelPass’ (MTP) Jabatan Imigresen, juga berkuat kuasa hari ini.

Bagi memulihkan kembali sektor pelancongan, Nancy berkata salah satu fokus yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Pelancongan oleh MOTAC adalah mengembalikan keyakinan pelancong terhadap tahap keselamatan di sesuatu destinasi pelancongan.

“MOTAC akan berusaha untuk memastikan sektor pelancongan negara mampu menjana semula pendapatan secara berterusan dan akan terus merangka kempen promosi yang lebih agresif dan strategik bagi merancakkan kembali sektor pelancongan negara,” katanya.

Nancy berkata, pengunjung yang ingin melakukan aktiviti pelancongan digalakkan menjalani ujian pengesanan Covid-19, sebelum memulakan perjalanan.

“Tindakan ini secara tidak langsung dapat membantu kerajaan untuk memutuskan rantaian serta mengawal penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

“Patuhilah segala prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan serta kementerian dan agensi yang berkaitan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.