
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, sebarang aktiviti akaun pesisir negara yang mencurigakan sentiasa dipantau badan menguatkuasa Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA).
Katanya, agensi yang turut terbabit adalah adalah polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
“Kalau ada isu yang timbul inilah agensi bertanggungjawab, kalau ada isu perlu disiasat maka Bank Negara sebagai pihak berkuasa berwibawa di bawah AMLA sentiasa sedia bekerjasama dan panjangkan sokongan,” katanya di Dewan Rakyat ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Pindaan) 2021
Beliau menjawab isu berkaitan Kertas Pandora dibangkitkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang mahu perkara itu dibahaskan kerana membabitkan kesan kewangan besar terhadap negara.
Pada 4 Okt, Anwar yang juga Presiden PKR mengemukakan usul supaya Dewan Rakyat segera membahaskan pendedahan Kertas Pandora berhubung transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang negara melibatkan beberapa nama besar.
Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun menolak usul itu atas tidak perlu disegerakan sehingga memaksa persidangan itu mengetepikan urusan-urusan yang sudah ditetapkan aturan urusan mesyuarat.