
“Dengan keputusan ini, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong dan sebagainya,” katanya dalam sidang media khas hari ini.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran itu kerana ia mungkin menyebabkan lonjakan kes Covid-19.
Beliau menyarankan rakyat melakukan ujian Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan.
“Bagi mereka yang bergejala seperti demam, batuk, selsema dan sesak nafas, saya nasihatkan anda tangguhkanlah dahulu perjalanan.
“Sekiranya anda didapati positif, kuarantin diri atau hubungi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) berhampiran untuk mendapatkan rawatan segera.”
Katanya, hanya individu yang divaksin sepenuhnya dibenarkan merentas negeri dan polis akan melakukan pemeriksaan secara rawak terhadap status vaksinasi, termasuk di kawasan rehat dan rawat (R&R).
“Tetapi bukan khusus, terserah kepada budi bicara polis nak periksa di kawasan mana.”
Sementara itu, Ismail berkata, kerajaan bersetuju membenarkan rakyat melakukan perjalanan ke luar negara tanpa menggunakan MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia bermula esok.
Bagaimanapun, katanya, pengembara masih perlu menjalani kuarantin wajib sebaik pulang ke tanah air.
“Keputusan pemansuhan ini antaranya untuk menghubungkan ahli keluarga dan pasangan yang terpisah, rakyat Malaysia yang ke luar negara bagi tujuan bekerja dan mereka yang menjalankan urusan perniagaan.
“Bagaimanapun, kebenaran ini tertakluk kepada individu yang lengkap divaksin.”
Ini adalah kali pertama pergerakan rentas negeri dibenarkan tanpa memerlukan kebenaran polis sejak 11 Jan lalu. Sempadan negara pula ditutup kepada kebanyakan pengembara sejak permulaan pandemik pada Mac tahun lalu.
Fasa endemik
Ismail berkata, kerajaan belum menetapkan tarikh untuk negara memasuki fasa endemik.
Katanya, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara sedang mengkaji untuk mengurangkan jumlah SOP bagi fasa endemik.
“Yang penting adalah apa yang kita lakukan untuk melindungi diri kita sendiri. Satu-satunya cara adalah dengan mematuhi SOP.”
Walaupun ada peningkatan kes di daerah tertentu, katanya, kerajaan tidak akan mengurung seluruh kawasan itu.
“Sebagai contoh, jika ada kawasan yang dijangkiti Covid-19 seperti di sebuah hotel di Langkawi, kita tidak akan mengurung seluruh pulau. Apa yang perlu kita lakukan adalah menutup hotel itu.
“Saya tahu ada ketakutan kita akan dikurung seperti sebelumnya, jika kes meningkat. Saya ingin memberi jaminan kehidupan akan berjalan seperti biasa, walaupun kita akan menutup kawasan tertentu.”