
Pakar patologi forensik Hospital Kuala Lumpur Dr Siew Sheue Feng menyatakan dalam laporannya bahawa punca kematian Azlan Nordin, 45, “konsisten dengan kematian berkaitan asfiksia”.
Beliau mendapati Azlan mengalami fraktur di tengkuk, pelbagai kecederaan di muka dan kepala, selain kecederaan lain yang menunjukkan pergelutan di kedua-dua tangan dan kakinya.
Hasil bedah siasat ini menyusul laporan polis dibuat anak saudaranya yang mendakwa Azlan menjadi mangsa keganasan polis.
Dalam laporan yang dibuat selepas kematian Azlan pada 6 petang, anak saudaranya mendakwa polis menggunakan kekerasan ketika menahan bapa saudaranya di rumahnya di Taman Dato Senu, Sentul.
Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim sebelum ini dilaporkan berkata, pasukan serbuan menggunakan kekerasan minimum untuk menahan Azlan yang bersenjatakan sabit.
Menurut Ketua Polis Sentul Beh Eng Lai, jabatan siasatan jenayah ibu pejabat polis bandar itu sedang menyiasat dakwaan berkenaan.
Beliau enggan mengulas mengenai hasil bedah siasat, dengan berkata, Azmi akan segera membuat kenyataan mengenai kes tersebut.
Polis turut menyiasat maklumat bahawa Azlan mengalami kecederaan akibat bergaduh dengan adiknya pada pagi kejadian.
Dalam kejadian 5 petang itu, anggota Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menyerbu rumah berkenaan selepas menerima maklumat awam mengenai pengedaran dadah.
Beh berkata, suspek bertindak agresif ketika serbuan sehingga berlaku pergelutan dan cuba mencapai sebilah sabit, tetapi anggota polis berjaya menggarinya.
Tidak lama selepas itu, katanya, Azlan pengsan dan pegawai perubatan yang tiba 10 minit kemudian mengesahkan kematiannya.
Polis menjumpai lebih 50g dadah jenis metamfetamin dan hampir 2g heroin di dalam biliknya.
“Turut berada dalam rumah semasa serbuan adalah ibu serta tiga anak saudara si mati,” kata Beh, menurut laporan Berita Harian.