
Ketua Polis Daerah Kangar, Wari Kiew berkata, dalam kejadian 8.30 malam itu, anggotanya menemui mayat Kamarul Izahar Mat Nanyan, 49, terlentang berhampiran pagar sebuah rumah dengan kesan kecederaan kecil di dahi.
Susulan itu, katanya, empat lelaki berusia dalam lingkungan 39 hingga 55 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Mangsa dipercayai ke sebuah rumah untuk mengutip sewa daripada seorang lelaki, tetapi tidak dipedulikan sehingga tercetus pertengkaran antara mereka membabitkan penggunaan parang.
“Mangsa yang berang bertindak menetak cermin sebuah kereta dan turut mencederakan lelaki berkenaan sebelum pergaduhan dileraikan beberapa penduduk yang kemudiannya bertindak mengikat tangan mangsa,” katanya dalam kenyataan dipetik Bernama.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya didapati tidak bergerak dan disahkan meninggal dunia, manakala lelaki yang cedera ditetak itu kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah.
Katanya, mayat Kamarul dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.