
Beliau berkata, satu ketika dahulu, pendeposit mengeluarkan wang mereka apabila wujud dakwaan berlaku penyelewengan dan sebagainya, namun tindakan sama tidak lagi berlaku.
“Kami sedang menyusun dan merangka strategi untuk memantapkan lagi pengurusan TH, terbaharu TH Plantations telah menukar pengurusan baharu.
“Insya Allah projek berkaitan operasi ladang TH yang menjana keuntungan besar itu juga akan lebih berdaya saing, maju dan segala keuntungan akan dipulangkan kepada pendeposit,” katanya selepas menghadiri Program Outreach Rakan Setia Komuniti Orang Kena Pengawasan (OKP) Dadah di Kampung Gong Tengah, Pengkalan Chepa, di sini.
Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, ketika ini, TH memiliki kira-kira sembilan juta pendeposit dan jumlah itu turut memberi gambaran keyakinan masyarakat terhadap institusi itu.
“Ini juga memberi gambaran keyakinan bahawa TH sebuah institusi yang menjaga bukan sahaja persiapan ibadat haji, malah satu platform pelaburan kepada orang Islam di negara ini.
“Kami akan terus tingkatkan daya saing dari segi pengurusan untuk menjana keuntungan, seterusnya memberi pulangan kepada masyarakat,” katanya.