Hutan simpan kekal baharu diwarta di KL

Hutan simpan kekal baharu diwarta di KL

Hutan Simpan Sungai Besi (Tambahan) diwartakan bagi menggantikan kawasan Hutan Simpan Bukit Sungei Puteh yang diwarta keluar untuk pembangunan Lebuh Raya SUKE.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan berkata, penggantian HSK secara serentak ini meningkatkan kawasan hutan di Kuala Lumpur kepada 0.35% daripada keluasan tanah keseluruhan di wilayah berkenaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Berkuat kuasa semalam, sebuah kawasan seluas 23.83 hektar di Mukim Petaling, Kuala Lumpur, diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) baharu bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), kata Takiyuddin Hassan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu berkata, Hutan Simpan (HS) Sungai Besi (Tambahan) itu diwartakan bagi menggantikan kawasan HS Bukit Sungei Puteh, Mukim Cheras, Kuala Lumpur, seluas 7.48 hektar yang diwarta keluar untuk pembangunan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada tarikh sama.

Hutan dipterokarpa tanah pamah itu, katanya, diwartakan sebagai hutan perlindungan dan dikelaskan sebagai hutan penyelidikan, hutan lipur dan hutan pelajaran bawah subseksyen 10(1) Akta 313.

Ia turut diisytiharkan sebagai hutan tertutup bawah Seksyen 45 akta sama, tambahnya.

“Proses pewartaan keluar dan penggantian HSK secara serentak yang berlaku ini adalah selaras dengan hasrat dan cadangan pindaan Akta 313 yang sedang diusahakan oleh kerajaan persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

“Proses ini juga merupakan manifestasi komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada kawasan tanah negara sebagai kawasan berhutan dan dilitupi pokok-pokok.”

Beliau berkata, penggantian HSK secara serentak ini meningkatkan kawasan hutan di Kuala Lumpur kepada 0.35% daripada keluasan tanah keseluruhan di wilayah berkenaan, berbanding 0.28% sebelum ini.

“Kementerian berharap agar perkara ini dapat terus dicontohi pihak-pihak berkuasa negeri untuk mewartakan lebih banyak kawasan hutan sebagai HSK di negeri masing-masing bagi memelihara khazanah negara yang tidak ternilai ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.