Tubuh agensi tunggal pantau GLC, kerajaan diberitahu

Tubuh agensi tunggal pantau GLC, kerajaan diberitahu

Ahli ekonomi Edmund Terence Gomez berkata ia penting bagi memastikan GLC terbabit dapat menjalankan fungsi dan tanggungjawab sepatutnya.

Pandemik Covid-19 menekankan betapa pentingnya peranan GLC dalam menyokong ekonomi, menurut ahli ekonomi Edmund Terence Gomez.
PETALING JAYA:
Ahli ekonomi menggesa kerajaan untuk menubuhkan sebuah agensi tunggal bagi memantau operasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Edmund Terence Gomez berkata, ia agak mengejutkan apabila agensi seumpama itu tidak diwujudkan memandangkan jumlah GLC terlalu besar di negara ini.

Katanya, pandemik Covid-19 menekankan betapa pentingnya peranan GLC dalam menyokong ekonomi, menguruskan situasi krisis kesihatan ketika ini dan membantu rakyat Malaysia yang memerlukan.

Kerajaan perlu merombak sistem GLC terutama apabila ia didakwa disalah guna untuk kepentingan politik selain memastikan sumbernya dapat memenuhi peranan sepatutnya dan menyumbang terhadap usaha memerangi Covid-19.

“Sebuah jawatankuasa dianggotai rakyat tempatan yang mempunyai pengetahuan mengenai sistem GLC ini mesti diwujudkan supaya mereka dapat membangunkan sebuah struktur lebih tersusun bagi memastikan penyaluran bekalan barangan keperluan dan perkhidmatan secara berterusan,” katanya kepada FMT.

“Namun, ia tidak boleh dianggotai ahli politik bagi mengelakkan campur tangan politik. Ia harus terdiri daripada pakar perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kewangan untuk merumuskan kaedah bagi menyokong aktiviti ekonomi dan memastikan rakyat dilindungi.”

Gomez berkata, pasukan penasihat bebas itu amat penting dalam mengembalikan kepercayaan rakyat Malaysia bahawa sistem tadbir urus pelbagai peringkat yang telus dan bertanggungjawab dilaksanakan dalam GLC terbabit.

“Pasukan ini juga perlu mengadakan sesi temuramah dengan wartawan secara kerap untuk menjelaskan bagaimana mereka menangani pandemik sementara melaporkannya kepada jawatankuasa pemilihan parlimen yang tidak berpihak, diketuai oleh Perdana Menteri,” katanya.

Katanya, sistem GLC di negara ini tidak berpusat dan ia mengakibatkan berlakunya banyak pembaziran sumber.

“Kita mempunyai sistem yang tidak berpusat dalam menguruskan GLC. Kebanyakan GLC utama diletakkan di bawah kawalan beberapa kementerian dan tidak ada komunikasi yang berkesan di antara satu sama lain.

“Kita memerlukan satu koordinasi dalaman yang lebih baik antara GLC supaya mereka boleh memikirkan pendekatan bersasar untuk melonjakkan ekonomi dan menguruskan pandemik.”

Katanya, rombakan lain yang perlu dilakukan ialah dengan melantik pakar dan profesional untuk mengetuainya dan bukan ahli politik.

“Masih ingatkah lagi mengenai insiden kemalangan dua LRT tahun ini? Kenyataan yang kurang sesuai dibuat oleh bekas Pengerusi Prasarana adalah contoh terbaik mengapa ahli politik tidak boleh dilantik untuk menguruskannya,” katanya.

Bagaimanapun katanya, cadangan penambahbaikan itu tidak bermakna sekiranya pemimpin yang mentadbir kerajaan enggan mengambil tindakan sepatutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.