
Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed memberitahu hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengemukakan dokumen berkaitan kepada Petrosaudi International Limited di Arab Saudi serta Clyde & Co LLP dan Temple Fiduciary Services Limited, yang kedua-duanya berpangkalan di London.
Sebelum ini, Shahrir meminta AGC mengemukakan dokumen itu kepada tiga entiti asing yang dinamakan dalam permohonan terbabit.
Hanya anak syarikat Petrosaudi International, PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Ltd, dan pengarah syarikat Tarek Obaid diwakili peguam masing-masing, iaitu Mohd Yusof Zainal Abiden dan Alex Tan.
“Wakil NCA (Agensi Jenayah Kebangsaan), Danial Murphy menulis kepada kami dan mengesahkan kerajaan UK mengemukakan (dokumen mengenai) Clyde & Co minggu lalu.
“Beliau (Murphy) turut menyampaikan pesanan mahkamah kepada Clyde & Co sama ada firma itu ingin membalasnya.
“Namun sehingga kini, kita tidak menerima sebarang maklum balas daripada mereka,” kata Budiman.
Timbalan pendakwa raya itu berkata, demi kepentingan sistem keadilan, AGC akan menunggu dua minggu lagi untuk mendapatkan jawapan daripada Clyde & Co.
Mahkamah menetapkan 22 Okt untuk sebutan semula kes.
Kerajaan berpendapat bahawa wang berjumlah USD340,258,246.87 milik Petrosaudi dan anak syarikat, Petrosaudi Oil Services (Venezuela) Limited yang dipegang Clyde & Co LLP adalah hasil daripada aktiviti haram.
Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Afiq Abd Aziz dalam afidavitnya memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah larangan itu berkata, wang terbabit berkait dengan konspirasi membabitkan Tarek, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk menipu 1MDB.
Tahun lalu, seorang lagi hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan perintah sekatan sementara terhadap PetroSaudi International dan Tarek daripada menggunakan wang berjumlah USD340 juta yang disimpan oleh firma terbabit.
Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) juga telah memulakan prosiding rampasan harta terhadap Clyde & Co LLP pada September lalu untuk mendapatkan semula wang berjumlah USD340 juta.