Tak rasional dakwa Umno punca kerajaan Melaka tumbang, kata Zahid

Tak rasional dakwa Umno punca kerajaan Melaka tumbang, kata Zahid

Presiden Umno itu berkata, selain dua ADUN Umno, masing-masing seorang wakil rakyat Bersatu dan bebas turut terbabit dalam gerakan menjatuhkan kerajaan Melaka.

Ahmad Zahid Hamidi menggambarkan situasi di Melaka sebagai ‘nasi sudah menjadi bubur’ dan Umno perlu bersedia menghadapi pilihan raya negeri.
PETALING JAYA:
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tindakan menyalahkan parti itu sebagai punca kejatuhan kerajaan Melaka sebagai propaganda tidak rasional.

Ini kerana, katanya, selain dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno, masing-masing seorang wakil rakyat Bersatu dan bebas turut terlibat dalam gerakan itu sehingga memaksa Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

“Secara harfiah (literally), apa yang terjadi disebabkan masalah dalaman di Melaka dan ia melibatkan wakil rakyat daripada beberapa parti yang diketahui,” katanya dalam kenyataan.

Zahid berkata, Umno kini perlu bersedia menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri diadakan.

“Nasi sudah menjadi bubur. Maka, parti perlu bersiap siaga mengharungi PRN jika itu ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Kerana itu saya pernah menyatakan di Dewan Rakyat, jika benar kerajaan Melaka sudah tumbang, elok kita kembalikan mandat kepada rakyat.”

Isnin lalu, empat ADUN Melaka mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Terdahulu, Astro Awani hari ini memetik Timbalan Pengerusi Amanah Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab sebagai berkata, kemelut politik di Melaka berpunca daripada perbalahan sesama Umno yang dianggap “dosa paling besar” parti berkenaan terhadap rakyat di negeri itu.

Ketua PKR Alor Gajah, Ginie Lim yang dilaporkan Sinar Harian berkata, krisis politik itu membuktikan Umno tidak menghormati memorandum persefahaman yang dimeterai antara pembangkang dan kerajaan.

Beberapa hari lalu, FMT memetik orang dalam parti sebagai berkata, perpecahan dalam kalangan ahli Umno di Melaka, yang timbul sejak Langkah Sheraton tahun lalu, menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.