
Ditanya radio ABC Australia sama ada beliau akan memegang jawatan itu suatu hari nanti, Ketua Pembangkang itu berkata, tindakannya membangkitkan isu Kertas Pandora pasti menyukarkan perkara itu, apabila ramai golongan berkuasa, termasuk elit politik dan konglomerat yang akan menentangnya.
“Saya tidak risaukan perkara itu. Saya cuma melakukan tugas saya, ‘que sera sera’ (apa yang hendak terjadi akan terjadi).
“Jika saya terus menjadi Ketua Pembangkang, baiklah. Jika (menjadi) Perdana Menteri, saya akan ucapkan syukur kepada Tuhan.”
Katanya, beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengenai kebocoran maklumat itu petang semalam dan Naib Presiden Umno itu meminta pandangannya mengenai apakah yang boleh dilakukan berhubung isu itu.
“Saya kata beliau mesti melakukan siasatan penuh. Isu ini bukannya baharu. Pada 2012, saya telah membangkitkan mengenai laporan integriti kewangan global yang turut melibatkan ratusan bilion ringgit (luar pesisir). Kemudian pada 2015 pula ‘Kertas Panama’.”
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, disebabkan itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh mengatakan isu itu baharu, sebaliknya perlu segera melakukan siasatan.
Katanya, aktiviti rasuah di Malaysia tidak menunjukkan keadaan lebih baik, malah memetik skandal kes SPRM baru-baru ini melibatkan barang kes bernilai jutaan ringgit yang menyaksikan penangkapan tiga pegawai badan antirasuah itu.
“Tiada sesiapapun akan percaya mengenai pendirian antirasuah sehingga anda bersedia mengambil langkah tegas untuk mengukuhkan SPRM.”