
Yusof, yang juga Ketua Penerangan Warisan berkata, beliau kini ADUN Bebas tetapi menyokong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, dan di peringkat negeri, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.
Katanya lagi, beliau telah membincangkan perkara ini dengan Presiden Warisan Shafie Apdal, yang tidak membantah keputusannya.
“Saya buat keputusan ini untuk rakyat, terutamanya di Sipitang, dan demi kestabilan politik,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.
Yusof adalah ADUN kedua yang meninggalkan Warisan selepas Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik) pada 25 Feb.
Memandangkan kerusi Bugaya yang sebelum ini dipegang parti itu dikosongkan susulan kematian ADUN Manis Muka, Warisan kini hanya memegang 20 daripada 73 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri.
Warisan pada mulanya menang 23 daripada 32 kerusi dengan Warisan Plus, iaitu gabungan parti itu bersama DAP, PKR dan Upko, pada pilihan raya negeri (PRN) tahun lalu.
Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua Jr sebelum ini enggan mengulas berita bahawa Yusof telah meninggalkan parti itu, dengan berkata beliau belum menerima surat peletakan jawatan walaupun Yusof mendakwa telah menyerahkannya.
Yusof berkata, keputusannya meninggalkan Warisan turut dipengaruhi titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen dan ucapan Yang Dipertua Negeri dalam sidang Dewan Undangan Negeri supaya semua parti politik bekerjasama demi kebaikan rakyat dan bagi memerangi pandemik Covid-19.
“Keputusan saya ini bukan atas tekanan sesiapa. Saya tiada masalah dengan Warisan dan tidak mahu bermusuh. Keputusan ini mengutamakan kepentingan rakyat.”