
M Ramachelvam, anggota pasukan petugas Majlis Peguam mengenai akauntabiliti polis berkata, walaupun kematian dalam tahanan harus kekal menjadi isu hak asasi manusia, sebarang kemungkinan kaitan dengan kaum juga harus diteliti.
“Selalu dikatakan, satu kematian dalam tahanan adalah terlalu banyak. Orang ramai akan khuatir, sama ada Melayu, Cina atau India, mahupun warga asing, yang mati dalam tahanan,” katanya.
Hamzah meminta Ahli Parlimen di Dewan Rakyat untuk tidak mengaitkan isu kematian dalam tahanan dengan etnik. Tiada bukti berlaku diskriminasi perkauman terhadap tahanan yang mati dalam lokap.
Bagaimanapun menurut Ramachelvam, Hamzah dalam kenyataannya di Dewan Rakyat tidak menyatakan langkah-langkah yang telah diambil untuk menangani isu akauntabiliti polis dalam kes sebegitu.
Aktivis Khalid Ismath daripada badan bukan kerajaan Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) mempersoalkan statistik yang didedahkan dengan berkata, EDICT berulang kali menegaskan wujudnya ketidaktepatan dalam tafsiran kementerian mengenai kematian dalam tahanan.
“Angka ini tidak tepat kerana kementerian hanya merekodkan kematian yang berlaku dalam pusat-pusat tahanan,” katanya.
“Definisi kematian dalam tahanan bukan hanya (merangkumi) tahanan yang mati dalam lokap dan penjara, malah kematian yang terjadi dalam kereta peronda, di hospital atau semasa transit, selagi tahanan berada bawah jagaan pihak berkuasa.”
Khalid berkata, banyak kematian tahanan berlaku di hospital.
Katanya, EDICT bersetuju dengan Hamzah bahawa kematian dalam tahanan tidak boleh dikaitkan dengan kaum, selain menambah bahawa “statistik sebenar” tidak menunjukkan adanya diskriminasi perkauman.
“Tahanan (yang mati) dilayan dengan buruk oleh polis atau pegawai penjara tanpa mengira bangsa,” katanya.
“Bagaimanapun kita perlu menekankan bahawa layanan buruk dan kelalaian memudaratkan dan harus dihentikan. Kerajaan mesti mencari jalan untuk menangani isu tersebut.”
Beliau menggesa kerajaan supaya melibatkan badan-badan bukan kerajaan dalam perkara ini, selain mendakwa, kerajaan tidak memberi respons kepada permintaan mereka untuk mengadakan pertemuan.