Bantuan wabak guna metrik lapuk untuk ukur kemiskinan ‘menggusarkan’ badan pemikir

Bantuan wabak guna metrik lapuk untuk ukur kemiskinan ‘menggusarkan’ badan pemikir

IDEAS membidas alasan kewangan yang diberikan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat.

IDEAS menyifatkan penggunaan Pendapatan Garis Kemiskinan yang lapuk bagi mengelaskan isi rumah dan jumlah isi rumah bawah garis kemiskinan, sebagai “amat bermasalah”. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah badan pemikir ekonomi gusar bantuan kebajikan yang diagihkan ketika wabak Covid-19 sengaja mengguna pakai metrik lapuk untuk mengukur kemiskinan, kerana khuatir ia bermaksud kekurangan jumlah rakyat mendapat bantuan.

Menggesa kerajaan menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional baharu untuk agihan bantuan, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) membidas alasan kewangan yang diberikan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, kerana PGK lapuk tidak membayangkan dengan tepat situasi sebenar yang dihadapi oleh rakyat.

“IDEAS menzahirkan kegusaran mengenai kenyataan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff di Parlimen pada 6 Okt 2021 bahawa bantuan kebajikan yang diagihkan ketika wabak Covid-19 dengan sengaja mengguna pakai metrik lapuk untuk mengukur kemiskinan, iaitu PGK kerana akan mengurangkan beban kewangan pihak kerajaan.

“Kesukaran fiskal semasa yang dihadapi kerajaan bukan satu alasan untuk mengguna pakai PGK yang telah lapuk,” kata CEO Tricia Yeoh.

Katanya, sumber kerajaan sewaktu krisis harus mengutamakan keperluan dan kesejahteraan rakyat.

“Malah, kerajaan perlu mengutamakan serta menyasarkan komuniti termiskin yang paling terjejas.”

PGK mengelaskan isi rumah dan jumlah isi rumah yang berada bawah garis kemiskinan, kata IDEAS. Badan itu mengambil maklum kerajaan mengemas kini PGK dari RM980 kepada RM2,208 pada Julai 2020, namun menggunakan PGK yang lapuk “amat bermasalah”.

“Salah satunya adalah IDEAS percaya bahawa jumlah bantuan kebajikan yang diagihkan adalah berdasarkan PGK lapuk yang tidak membayangkan dengan tepat situasi sebenar yang dihadapi oleh rakyat yang sedang mengalami kesusahan dan kemiskinan.

“Hal ini bermaksud kekurangan jumlah rakyat yang sedang bergelut mendapat bantuan mencukupi yang mereka perlukan,” kata Yeoh.

IDEAS mengalu-alukan inisiatif kerajaan seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk menilai semula PGK pada 2022 berdasarkan keadaan pascawabak, dan menekankan keperluan untuk melakukan penilaian semula PGK secara berkala untuk mencerminkan harga semasa.

“Kerajaan berkewajiban untuk mengguna pakai PGK baharu supaya dapat memastikan dasar kebajikan kerajaan mempunyai impak maksimum.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.