Jumpa bayi masih hidup dalam tong sampah

Jumpa bayi masih hidup dalam tong sampah

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, George Abd Rakman berkata bayi cukup sifat itu ditemui seorang lelaki berusia lingkungan 30-an.

Bayi lelaki yang masih bernyawa ditemui di dalam tong sampah di Manggatal, malam tadi. (Gambar PDRM)
KOTA KINABALU:
Bayi lelaki ditemui dalam keadaan masih bernyawa di dalam tong sampah berhampiran sebuah pasar raya di Taman Indah Permai, Manggatal, di sini, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, George Abd Rakman berkata, dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, bayi cukup sifat yang dipercayai baru dilahirkan itu ditemui oleh seorang lelaki berusia lingkungan 30-an.

Katanya, siasatan awal mendapati, lelaki terbabit yang enggan dikenali mendakwa terdengar bunyi rengekan yang pada mulanya disangka kucing.

“Lelaki terbabit yang terkejut dengan penemuan bayi itu terus menghubungi pusat panggilan kecemasan MERS 999 untuk memaklumkan kejadian berkenaan.

“Polis yang tiba di lokasi kejadian terus menjalankan siasatan dan bayi terbabit diserahkan kepada pasukan ambulans untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, bayi itu kemudiannya dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas (HWKKS) untuk pemeriksaan dan rawatan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek yang terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.