Ahmad Maslan tarik diri pencalonan Timbalan Speaker Dewan Rakyat

Ahmad Maslan tarik diri pencalonan Timbalan Speaker Dewan Rakyat

Ahli Parlimen Pontian itu berkata beliau mahu fokus kepada kerja-kerja selaku Setiausaha Agung Umno.

Ahmad Maslan menarik diri daripada pencalonan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat kerana mahu fokus kepada kerja selaku Setiausaha Agung Umno.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan mengumumkan menarik diri daripada pencalonan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

“Saya ingin fokus kepada kerja-kerja selaku Setiausaha Agung Umno,” katanya dalam sidang media di Parlimen, menurut laporan Bernama.

Pada 2 Okt, Ahmad berkata, beliau masih memiliki 10 hari untuk menghantar borang pencalonan bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said.

Pada 14 Sept, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar membentangkan usul menangguhkan pemilihan Timbalan Speaker baharu.

Katanya, penangguhan itu bertujuan membolehkan kerajaan membuat pindaan Perlembagaan bagi menambah satu lagi kerusi untuk jawatan Timbalan Speaker, daripada dua ketika ini kepada tiga orang.

Beliau berkata, satu daripada tiga jawatan Timbalan Speaker itu akan diisi oleh wakil pembangkang.

Kerajaan sebelum ini dilapor mencalonkan Ahmad untuk mengisi kekosongan jawatan itu, sementara blok pembangkang mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming mewakili Pakatan Harapan (PH).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.